KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Menyifatkan perbicaraan pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga pembantunya sebagai kes paling diingatinya sebagai hakim, Tun Arifin Zakaria berkata Mahkamah Persekutuan bergantung sepenuhnya pada bukti keadaan untuk mensabitkan tiga lelaki termasuk seorang bekas peguam.
Ketua Hakim Negara itu berkata perbicaraan kes bunuh Sosilawati merupakan yang kedua, selepas kes bunuh Sunny Ang Soo Suan pada 1965, yang mahkamah bergantung pada bukti keadaan untuk mensabitkan tertuduh tanpa mayat mangsa dijumpai.
"Sudah tentu, kes terakhir yang kami ada ialah kes bunuh Sosilawati. Ia diingati atas beberapa sebab iaitu melibatkan banyak tertuduh dan bersejarah dari segi ia merupakan kes kedua selepas kes Sunny Ang iaitu kami bergantung sepenuhnya pada bukti keadaan. Polis tidak menjumpai mayat (Sosilawati), sama seperti dalam kes Sunny Ang.
"Jadi, ia bersejarah dari aspek itu dan kebetulan ia juga merupakan kes jenayah terakhir dikendalikan saya," katanya semasa ditanya kes apa yang paling diingati, sebagai hakim.
Soalan itu diajukan kepada Arifin pada sidang media selepas pelancaran bukunya bertajuk 'Justice Above All, Selected Judgments of Tun Arifin Zakaria With Commentaries', oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di sebuah hotel di sini, semalam.
Dalam kes Sunny Ang, lelaki itu didapati bersalah membunuh teman wanitanya yang mayatnya tidak dijumpai.
Pada 16 Mac, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati diputuskan terhadap bekas peguam N. Pathmanabhan, 47, dan dua pekerja ladangnya, tetapi membebaskan seorang daripada perayu daripada pertuduhan membunuh Sosilawati dan tiga pembantunya kira-kira tujuh tahun lepas.
Dua pekerja ladang itu ialah T. Thilaiyalagan, 25, dan R. Kathavarayan, 37.
Dalam penghakimannya, panel lima hakim dipengerusikan Arifin berkata terdapat bukti kukuh untuk menunjukkan bahawa Sosilawati dan tiga pembantunya dibunuh di ladang milik Pathmanabhan di Banting.
Panel itu yang turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Azahar Mohamed dan Tan Sri Zaharah Ibrahim, sementara itu membebaskan seorang lagi perayu R. Matan, 26, atas alasan kekurangan bukti untuk mengaitkan lelaki itu dengan pembunuhan tersebut.
Pada 23 Mei, 2013, empat lelaki itu dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas kesalahan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Sosilawati dan ketiga-tiga pembantunya itu dilaporkan hilang selepas pergi ke Banting bagi urusan tanah.
Kehilangan mereka telah menjadi topik utama di seluruh negara.
-- BERNAMA
Memaparkan catatan dengan label sosilawati. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sosilawati. Papar semua catatan
Ahad, Mac 19, 2017
Jumaat, Mac 17, 2017
TUJUH TAHUN MENUNGGU KES SOSILAWATI
KUALA LUMPUR 16 Mac - Selepas tujuh tahun keluarga jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya akhirnya menarik nafas lega apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan bekas peguam, N. Pathmanabhan dan dua bekas pekerja ladangnya kekal menjalani hukuman gantung kerana membunuh Sosilawati dan tiga rakannya di sebuah ladang di Banting, Selangor pada 2010.

Erni Dekritawati Yuliana Bukhari
Anak kepada pengasas kosmetik produk jenama Nouvelles Visages (NV), Erni Dekritawati Yuliana Buhari bersyukur dan lega diakhiri dengan keputusan adil dan saksama.
Katanya, keadilan ini bukan sahaja untuk mereka sekeluarga namun kepada keluarga mangsa yang lain yang turut terlibat.
“Alhamdulillah, seluruh keluarga rasa bersyukur kerana akhirnya penantian kami selama tujuh tahun berakhir dengan apa yang kami harapkan. Kami menerima keputusan ini dengan hati terbuka dan ini adalah keputusan yang terbaik untuk semua. Terima kasih kepada pihak berkuasa yang menjalankan tugas dengan baik sekali dan memberi keadilan kepada kami pada hari ini,” katanya
Erni yang mesra dikenali Rita itu juga akan mengadakan kenduri doa selamat pada minggu depan sebagai tanda kesyukuran segala penantian mereka sekeluarga akhirnya telah selesai.
Katanya, bukan mudah untuk meneruskan hari-hari tanpa ibunya lebih-lebih lagi, beliau juga harus menggalas tanggungjawab mengemudi syarikat ibunya.
“Pengalaman ketika mula-mula menjalankan perniagaan sangat sedikit dan masih lagi mentah namun saya terus kuatkan semangat. Semangat yang saya pegang adalah semangat sama ketika ibu mula-mula menjalankan perniagaan ini sehingga dikenali ramai.
“Kini, meski pun tujuh tahun kehilangan ibu namun sema-ngatnya masih tetap bersama kami” ujarnya.
Langgan:
Catatan (Atom)