Memaparkan catatan dengan label masalah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label masalah. Papar semua catatan

Ahad, Jun 05, 2011

SHAFIE NAFI ADA MASALAH DENGAN PEMIMPIN NEGERI


Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau tidak mempunyai masalah dengan kepimpinan UMNO negeri Sabah dan lawatannya ke negeri itu bukan bertujuan mengejar jawatan.

Katanya beliau tidak bernafsu besar untuk mengejar jawatan dengan mengadakan kunjungan ke kampung-kampung di negeri itu tetapi sebaliknya menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

"Sebagai menteri, saya harus melawat kampung-kampung untuk membantu rakyat dan bukan untuk mendapatkan jawatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarakat perwakilan UMNO Bahagian Papar di sini pada hari Sabtu.

Mohd Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna, berkata beliau selalu turun ke kawasannya dan apabila pergi ke kawasan lain, ada pihak menuduh beliau mahu mengguling kuasa.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, Ahad lepas, di Keningau bahawa wujud 'perang dingin' antara pemimpin tertentu dalam UMNO negeri sehingga membawa kepada rombakan kepimpinan Pemuda UMNO negeri yang menyaksikan Ketua Pemudanya Azman Ruslan diganti.

Bagaimanapun, pada hari berikutnya, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak menafikan wujudnya 'perang dingin' antara pemimpin tertentu dalam UMNO negeri.

Mohd Shafie berkata hubungan beliau dengan pemimpin UMNO negeri adalah baik dan apa yang penting ialah perpaduan dan kekuatan parti terutama dalam menghadapi pilihan raya yang ke-13.

Mengenai kemungkinan terdapat pihak yang melaga-lagakan beliau dengan pimpinan UMNO negeri, katanya beliau tidak mengetahui perkara itu dan tidak melayan tanggapan sedemikian.

Jumaat, Disember 11, 2009

MAS KAHWIN DI SELANGOR NAIK KEPADA RM300


Mulai 1 Jan tahun depan, kadar mas kahwin di Selangor ditetapkan sebanyak RM300 berbanding kadar semasa iaitu antara RM40 dan RM80 yang dilaksanakan sejak tahun 1978.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata kadar baru itu ditetapkan setelah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Ketua Agama Islam di negeri itu.

Beliau berkata kadar baru itu dikuatkuasakan setelah mengkaji beberapa perkembangan semasa termasuk menyeragamkan jumlah mas kahwin kepada wanita tanpa mengira status mereka seperti sebelum ini.

"Sebelum ini kita tetapkan mas kahwin bagi anak dara ialah RM80 manakala RM40 bagi yang berstatus janda. Saya yakin dengan kadar baru ini ia lebih memuliakan kedudukan wanita tanpa mengira status," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kad Perakuan Nikah Pintar Jais di sini Khamis.

Mohamed Khusrin yakin kadar baru itu tidak membebankan pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga kerana ia berpatutan dan bersesuaian mengikut keadaan semasa.

Terdahulu, beliau melancarkan Kad Perakuan Nikah Pintar JAIS iaitu kad perakuan pengesahan bagi pasangan yang bernikah dan berdaftar di Selangor.

Beliau berkata kad itu dilengkapi dengan cip maklumat termasuk data pasangan yang merangkumi identiti suami, isteri, wali dan nombor siri surat perakuan nikah pasangan masing-masing.

"Kad pintar ini akan berkuatkuasa mulai tahun depan bagi menggantikan kad nikad sedia ada untuk mengelakkan kes kad perakuan perkahwinan palsu yang dikesan dalam beberapa siri tangkapan Jais sebelum ini," katanya.

Mohamed Khusrin berkata JAIS juga bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) bagi membolehkan kad perakuan itu diakses melalui terminal mudah alih Jabatan Agama Islam berkenaan.

Selain Selangor, Perak, Kelantan dan Terengganu merupakan antara negeri yang menggunakan kad perakuan nikah pintar dalam pengurusan pendaftaran perkahwinan mereka.

Jumaat, November 06, 2009

SEMINAR PAS TIDAK SELESAIKAN MASALAH


Perbualan dengan beberapa pemimpin Pas mengenai kemelut kepimpinan dalam parti membayangkan isu itu jauh daripada penyelesaian.

Ada yang berpendapat masalah itu tidak berbangkit lagi kerana ia telah diserahkan kepada jawatankuasa disiplin parti, namun bagi pihak lain, seminar politik yang dijadual Sabtu ini adalah platform terbaik untuk membincangkannya.

Ada juga yang berpendapat muktamar khas adalah jalan penyelesaian jika kemelut itu tidak dapat ditangani menerusi jawatankuasa disiplin dan seminar sehari itu.

Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, yang juga anggota biro politik parti itu, berkata opsyen mengadakan muktamar khas terbuka kepada anggota parti untuk dipertimbang kerana perkara itu dibenarkan perlembagaan parti.

"Memang ia (muktamar khas) satu perkara luar biasa tapi sekiranya itulah cara penyelesaian, atau penyelesaian tak tercapai menerusi seminar dan jawatankuasa disiplin, saya rasa opsyen EGM akan sentiasa terbuka untuk ahli-ahli parti," katanya kepada Bernama di sini.

Ironinya naib presiden parti Salahuddin Ayub pula menjelaskan seminar pada Sabtu ini diadakan sebagai ganti muktamar khas dan bukanlah untuk membincangkan kemelut kepimpinan tetapi bertujuan mendapatkan pandangan anggota dan juga dua pemerhati politik yang diundang khas, tentang langkah-langkah yang harus diambil bagi mengukuhkan peranan Pas dalam pakatan pembangkang.

"Ini (isu kemelut kepimpinan) tak berbangkit, kira dah selesai. Soal (Pesuruhjaya Pas Selangor) (Datuk) Dr Hassan Ali kita dah serah kepada Jawatankuasa Disiplin parti untuk disiasat," katanya.

Dua pemerhati politik yang diundang memberi pandangan pada seminar politik itu ialah Prof Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Prof Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya.

Perkara itu turut dipersetujui seorang lagi naib presiden parti Datuk Mahfuz Omar yang berkata isu kepimpinan telah diserahkan kepada jawatankuasa disiplin parti.

Namun Mahfuz cuba mengelak apabila ditanya mengenai beberapa pemimpin lain yang juga disifatkan "bermasalah" oleh seorang pemerhati politik tetapi tidak dirujuk kepada jawatankuasa disiplin.

"You mana tahu? You jawatankuasa disiplin?" kata Mahfuz.

Berasaskan keputusan mesyuarat khas jawatankuasa pusat parti yang turut dihadiri Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 28 Okt lepas, jawatankuasa disiplin diarah menyiasat kepimpinan Pas Selangor berhubung dakwaan membuat keputusan bertentangan dengan prinsip kerjasama pakatan pembangkang.

Bagaimanapun beberapa nama lain seperti Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Nasharudin Mat Isa dan Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali yang turut disebut oleh Abdul Aziz Bari sebagai "bermasalah" sehingga mendorong Nik Abdul Aziz menyarankan diadakan muktamar khas, tidak terlibat dalam siasatan itu.

Tumpuan sebaliknya diberi kepada Pesuruhjaya Pas Selangor dan beberapa pemimpin lain di negeri itu yang dikatakan menimbulkan masalah kepada pakatan pembangkang.

"Menurut Prof Abdul Aziz dalam analisisnya itu Selangor adalah bermasalah. Beliau kata orang ini (Nasharudin, Mustafa dan Abdul Hadi) lindungi Hassan kerana bersetuju (dengan pandangan Hassan tentang beberapa isu termasuk larangan menjual alkohol).

"Sekiranya tindakan diambil (oleh jawatankuasa disiplin) maka terbukti tidak ada perlindungan, maka tidak ada sebab untuk mana-mana pihak menuduh (demikian)," kata Khalid pula.

Kerajaan pakatan pembangkang di Selangor yang terhasil daripada kerjasama Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat dilihat seringkali bergoncang berikutan tindakan Hassan yang membuat keputusan bertentangan dengan prinsip kerjasama mereka.

Antara keputusan yang diambil oleh Hassan dan dianggap oleh pemerhati politik telah mengurangkan sokongan bukan Islam terhadap parti itu ialah saranan pengharaman penjualan alkohol di kawasan majoriti Melayu di Selangor.

Hassan juga dikecam kerana mengkritik secara terbuka kaedah penyiasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) yang diwujudkan pakatan pembangkang di Selangor.

Hassan dan beberapa pemimpin Pas lain di Selangor mungkin berdepan dengan tindakan disiplin namun bagaimana pula dengan nasib segelintir lagi yang sedari awal telah kurang disenangi oleh Nik Abdul Aziz?

Rata-rata pemerhati politik bersetuju Pas tidak akan berpecah sekalipun bergolak hebat dan masing-masing juga melihat kemelut sekarang sebagai "cubaan menunjuk taring" antara Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi.

Namun pemerhatian mereka adalah berasaskan sejarah dan berasaskan generasi pemimpin berbeza, sedang parti itu kini jelas terbahagi kepada dua iaitu kelompok ulama konservatif dan golongan ulama profesional yang lebih liberal.

Justeru, mampukah kekuatan Pas bertahan sehingga pemilihan parti akan datang atau akan tercipta sejarah baru yang memaksa parti mengadakan muktamar khas.