Memaparkan catatan dengan label khalid ibrahim. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label khalid ibrahim. Papar semua catatan

Selasa, Oktober 07, 2008

KERAJAAN PAKATAN RAKYAT LEBIH TELUS

Editor Watan, Mohd Zabidi Haji Saidi (berkepala botak) sedang menemubual Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim di pejabatnya baru-baru ini.

WATAN rasa bertuah kerana dapat menemubual Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang merupakan salah seorang dari lima orang Menteri Besar Pakatan Rakyat. Untuk mengetahui pandangan beliau terhadap isu semasa di Selangor, ikutilah wawancara ekslusif ini dengan Editor akhbar WATAN, Mohd. Zabidi Haji Saidi – EDITOR

WATAN: Selepas enam bulan menerajui kerajaan Selangor, apakah Tan Sri puas hati dengan pencapaian kerajaan Pakatan Rakyat?

Saya puas hati dengan pencapaian yang ada. Saya rasa kerajaan Pakatan Rakyat lebih telus dan lebih bertanggungjawab daripada kerajaan Barisan Nasional. Saya akan pastikan semua projek yang hendak dijalankan, hendaklah mengambil-kira pandangan rakyat dan bukannya projek itu dilulus atas kehendak orang atas.
Bagaimana pula penerimaan rakyat terhadap dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan baru ini ?

Walaupun baru enam bulan, namun penerimaan rakyat terhadap pentadbiran baru negeri Selangor cukup bagus. Dan sebagai langkah awal, ada beberapa perkara yang menjadi fokus utama pembaharuan kami.
Pertama,sumber yang ada di negeri Selangor hendaklah diuruskan dengan baik dan berkesan supaya ia dapat memberi manfaat kepada semua rakyat.
Kedua, rakyat Selangor pastinya lebih nampak ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam kerja yang kami lakukan. Apa yang kami janjikan dalam pilihan raya umum dahulu kini satu persatu sudah, sedang dan bakal kita laksanakan.
Ketiga, perkara yang saya difahamkan dan berdasarkan maklumat daripada takyat negeri ini, mereka merasakan mula diberi kesempatan untuk mengemukakan pandangan dan cadangan.
Sejak Pakatan Rakyat memerintah, kerajaan menggunakan pendekatan secara bottom up dan bukannya seperti kerajaan lalu, from top to bottom.

Bagaimana hubungan wakil rakyat PAS dengan DAP dalam menyatukan pendangan sedangkan iderologi mereka berbeza?

Dari segi pengalaman, wakil rakyat Pakatan Rakyat agak baru. Mereka yang terdiri daripada wakil rakyat PKR, DAP dan PAS mula memahami antara satu sama lain. Wakil rakyat PAS bukan lagi orang yang terdiri dari ustaz. Sebaliknya ramai daripada mereka dari golongan professional. Jadi pendekatan mereka lebih terbuka dalam menghadapi segala permasalahan yang timbul dengan wakil rakyat DAP. Yang penting, rakyat mula menerima dasar-dasar kita yang mengutamakan semua kaum dan tidak menindas kaum-kaum tertentu.

Ada yang mengatakan Tan Sri menguruskan Selangor ala orang korporat dan bukannya sebagai orang politik?

Kebetulan saya ada pengalaman bekerja dengan PNB dan Guthrie, maka saya dilihat menguruskan negeri ala orang korporat. Kalau kita lihat Hong Kong pun ditadbir oleh seorang CEO. Dari satu segi, bagusnya bekerja ala korporat, semua kerja dibuat dengan cepat tanpa adanya red-tape sedangkan budaya lama biasanya mengambil masa yang lama untuk menjawab sekeping surat. Dalam pada itu sebagai orang politik saya bertanggungjawab kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, fahaman politik dan gender.

Adakah Tan Sri menghadapi halangan dari pegawai-pegawai kerajaan yang pro kepada kerajaan lama?

Sebagai pegawai kerajaan, mereka hendaklah berkecuali. Siapa sahaja yang memerintah, mereka hendaklah patuh kepada kerajaan yang ada. Biasalah perkara ini berlaku kerana proses menyesuaikan diri dengan kerajaan baru ambil masa. Selama ini mereka tidak dilatih untuk buat keputusan oleh kerajaan lama. Mereka sekadar menerima arahan dan melaksanakan arahan. Apabila kerajaan baru ambil-alih, mereka terkejut kerana mereka diminta memberi pandangan kerana selama ini pandangan mereka tidak pernah diminta.

Selepas kerajaan baru berkuasa, adakah pelaburan di Selangor meningkat?

Pelaburan mula menunjukkan peningkatan. Kini pelaburan asing RM7 bilion. Saya tak nampak kerajaan pusat cuba mengganggu pelaburan yang mahu masuk ke Selangor kerana Selangor adalah nadi pelaburan utama Malaysia.

(Untuk dapatkan wawancara penuh, belilah WATAN, 12-18 Oktober ini)

Isnin, September 29, 2008

DARI KT KE SHAH ALAM


Rabu lalu saya telah berbuka puasa dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di Hotel Primula, Kuala Terengganu. Kebetulan MB meraikan para wartawan dalam majlis anjuran KAWAT. Presiden KAWAT, Ayob Mamat turut hadir. Sudah dua tahun saya tidak menemuinya setelah saya berhenti kerja dengan akhbar Terengganu Bestari terbitan UMNO Terengganu. Ketika itu Ayob adalah Editornya manakala saya adalah wartawannya.

Walaupun saya kini bertugas sebagai Editor Watan di Kuala Lumpur, saya menerima undangan Setiausaha UMNO Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan untuk hadir ke majlis itu walaupun kedatangan saya mungkin tidak disenangi oleh orang tertentu dalam KAWAT. Bagaimanapun, terima kasih di atas ingatan Datuk Rosli kepada saya.
Malam itu saya terpaksa balik ke Kuala Lumpur kerana pagi esoknya saya terpaksa mewawancara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Bersama Hafiz, kami sampai di Kuala Lumpur tepat jam 4 pagi. Jam 8 sudah bangun untuk pergi ke Shah Alam.

Inilah kali pertama saya berpeluang menemuramah Tan Sri Khalid. Sepanjang wawancara selama sejam itu pelbagai isu dikupas oleh Tan Sri Khalid. WATAN akan menyiarkan wawancara penuh beliau dalam edisi 12 Oktober nanti. Bagi saya, Tan Sri Khalid adalah seorang Menteri Besar yang simple dan tidak ada protokol. Di luar pejabatnya kelihatan Datuk Dr. Goh Cheng Teik bekas ahli parlimen Gerakan sedang menunggu seseorang. Mungkin tokoh politik veteran ini akan menyertai pembangkang juga. Nampaknya BN di ambang bahaya kerana selepas SAPP, UPKO akan mengkaji semula kedudukannya dalam BN selain dari Gerakan.