Memaparkan catatan dengan label kbc. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kbc. Papar semua catatan

Ahad, Julai 08, 2018

SAAT SAAT GETIR BAGI 200 ANGGOTA BOMBA


KEMAMAN 7 Julai (Bernama) -- Meskipun terpaksa berdepan dengan detik-detik getir selama tiga hari untuk memadamkan kebakaran tangki minyak mentah, ia tidak mematahkan semangat 200 anggota bomba yang terlibat dalam operasi kebakaran tiga tangki minyak mentah Kemaman Bitumen Company (KBC).

Sesetengah daripada mereka merasai pengalaman pertama dengan situasi sedemikian walaupun 'api' bagaikan mainan mereka.

Pegawai Bomba Tinggi, Yusmizan Yusoff merangkap Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus berkata operasi pada kali ini merupakan pengalaman pertama beliau sepanjang bertugas selama 16 tahun di Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia.

"Ini adalah pengalaman pertama bagi saya dan tidak pernah sebelum ini saya mengendali kebakaran yang besar sebegini dan ini adalah pengalaman yang sangat mencabar dari segi mental dan fizikal.

"Perasaan takut semasa berhadapan dengan situasi sebegini sememangnya ada namun apabila menerima arahan dan menyarung uniform perasaan takut itu tidak lagi kami fikirkan sehinggalah keluar daripada kawasan kebakaran barulah perasaan itu timbul kembali," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada operasi memadamkan kebakaran tangki minyak mentah KBC di Telok Kalong di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Razidi Abdul Rahim dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka berkata walaupun perasaan takut untuk berhadapan dengan keadaan tersebut tetapi beliau turut teruja apabila berpeluang menyertai operasi kebakaran tangki minyak terbesar di negeri Terengganu.

"Daripada kebakaran yang berlaku di KBC ini kami berpeluang untuk belajar banyak lagi teknik pemadaman apabila berhadapan kebakaran besar yang melibatkan minyak.

"Kami juga memerlukan kekuatan mental dan fizikal kerana kami perlu mencari sumber air yang banyak dan terpaksa berulang-alik untuk mengambil bekalan buih bagi kerja-kerja pemadaman api.

"Kesukaran yang kami terpaksa hadapi adalah dari segi bahang api kerana kami tidak dapat menghampiri tempat kebakaran kerana bahang terlalu panas dan jauh kira-kira 500 meter," katanya.

Mohd Zaiharis Sandar, 38, pula berkata mereka terpaksa berhadapan dengan situasi yang agak kritikal apabila berlakunya beberapa letupan akibat daripada kebakaran dan keadaan angin yang kuat menjadikan keadaan api semakin marak.

Menurut beliau lagi pada hari pertama mereka masuk ke kawasan operasi mereka berdepan keadaan api menjulang pada ketinggian 20 hingga 30 meter ke udara.

Namun bagi anggota bomba Khairul Anwar Muhamad, 41, situasi kebakaran kali ini adalah pengalaman kedua beliau sepanjang 18 tahun berkhidmat di JBPM.

"Sebelum ini saya pernah bertugas di Selangor dan pernah berhadapan dengan situasi yang sama pada tahun 2005 ketika berlaku kebakaran kilang di Klang dan untuk di Terengganu ini adalah kebakaran yang pertama yang terbesar," katanya.

Kebakaran tangki minyak mentah berkenaan bermula 6.15 petang Khamis lalu membabitkan tiga tangki (daripada enam) yang mengandungi minyak mentah lebih 20,000 liter padu.

-- BERNAMA

Sabtu, Julai 07, 2018

PENDUDUK SEKITAR KBC AKAN DIPINDAHKAN JIKA KEBAKARAN SEMAKIN BURUK




CHUKAI, 6 Julai (Bernama) -- Penduduk dari tiga kampung sekitar kawasan perindustrian Teluk Kalong hanya akan dipindahkan sekiranya situasi kebakaran tangki minyak mentah di Kemaman Bitumen Company (KBC) Sdn Bhd bertambah buruk.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata setakat ini, kira-kira 2,000 penduduk dari Kampung Bukit Kuang, Kijal dan Teluk Kalong telah dimaklumkan mengenai kemungkinan itu agar mereka lebih bersedia.

"Kita sudah berhubung dengan ketua kampung dan mereka (penduduk) bersedia untuk dipindahkan sekiranya situasi kebakaran ini menjadi semakin buruk.

"Dari segi perpindahan pula, kita akan bincang dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan....mungkin akan dipindahkan ke dewan-dewan orang berhampiran buat sementara waktu," katanya kepada pemberita selepas tinjauan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ke lokasi itu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Aidi berkata setakat ini, sekumpulan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melakukan pemantauan tahap kualiti udara sekali dalam tempoh empat jam.

"Walaupun tahap kualiti udara di sini masih terkawal, kita tetap larang kemasukan orang ramai ke sini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku...tambahan pula ini adalah kawasan operasi dan laluan ini akan ditutup sehingga keadaan benar-benar selamat," katanya.

Sementara itu tinjauan Bernama mendapati orang ramai masih mengerumuni persimpangan masuk ke lokasi itu untuk melihat sendiri situasi terkini kebakaran di kilang tersebut.

Bagaimanapun, tiada sebarang pencerobohan berlaku dan mereka tetap akur dengan arahan pihak berkuasa dengan tidak menghampiri lokasi kejadian sebaliknya hanya melihat dari jarak yang jauh.

Tinjauan juga mendapati lalu lintas di sepanjang Jambatan Bukit Kuang juga terkawal meskipun orang ramai memberhentikan kenderaan mereka di bahu jambatan bagi merakam kejadian kebakaran itu dengan lebih jelas.

-- BERNAMA





Jumaat, Julai 06, 2018

DUA TANGKI MINYAK MENTAH KBC TERBAKAR

KEMAMAN 5 Julai (Bernama) -- Dua buah tangki simpanan minyak mentah milik Kemaman Bitumen Company (KBC) di kawasan perindustrian Teluk Kalong, dekat sini, terbakar dalam kejadian pada jam 6.15 petang tadi.

Saksi, Ahmad Aliff Azizi Ahmad Mokhtar, 26, berkata beliau yang tinggal di Bukit Kuang merasai gegaran letupan kesan kebakaran tangki tersebut yang terletak kira-kira empat kilometer dari kediamannya.

"Masa letupan tersebut berlaku saya berada di rumah saya di Kampung Bukit Kuang dan saya lihat asap tebal dari arah kawasan perindustrian."

"Saya tahu kejadian ini melalui group WhatsApps sebelum ke lokasi kejadian dan apabila saya sampai api sedang marak serta orang ramai sudah ramai di lokasi sebelum diarahkan pihak berkuasa agar menjauhi kawasan kejadian," katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian di sini..

Aifah Abdullah, 26, pensyarah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Institut Pendidikan dan Latihan Ranaco (RETI), Chukai, berkata letupan berkenaan dapat didengari sehingga ke bandar Chukai.

"Saya ketika itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja dan sedikit terkejut dengan gegaran yang mengakibatkan kebakaran tersebut."

"Asap hitam berkepul-kepul dari kawasan kebakaran itu juga dapat dilihat sehingga jarak lima kilometer...saya berharap sangat tiada siapa yang cedera dalam kejadian itu," katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di kawasan kejadian mendapati anggota Bomba dan Penyelamat sedang berusaha mengawal kebakaran dari terus merebak ke tangki berdekatan.




Sehingga pukul 10 malam ini, kelihatan beberapa jentera bomba memasuki lokasi kejadian untuk membantu kerja-kerja mengawal dan memadam kebakaran.

Turut kelihatan pihak polis membuka pos operasi kira-kira 500m dari pintu masuk KBC.

-- BERNAMA