
Memaparkan catatan dengan label dibubar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label dibubar. Papar semua catatan
Isnin, Mei 27, 2013
PERKASA AKAN JADI PARTI POLITIK JIKA UMNO DIBUBAR
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan cadangan untuk menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai satu parti tunggal pelbagai kaum dan semua parti komponen dibubar sebagai tidak relevan buat masa ini.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, cadangan itu tidak relevan kerana UMNO yang mewakili orang Melayu masih belum berjaya meletakkan bangsa Melayu setanding dengan kaum lain, khususnya kaum Cina dalam bidang ekonomi dan pendidikan.
Katanya lagi, beliau juga tidak teragak-agak untuk mencadangkan Perkasa menjadi sebuah parti politik bagi mewakili perjuangan bangsa Melayu jika UMNO dibubar bagi memberi laluan kepada BN menjadi satu parti pelbagai kaum.
Jurang pembahagian kek ekonomi negara amat jauh dan UMNO masih belum selesai dengan agenda untuk mengangkat martabat bangsanya iaitu majoriti pribumi.
Jika UMNO dibubar, suara orang Melayu dan bumiputera akan ditelan bumi, malah sekarang pun kita dapat lihat apabila bercakap tentang hak yang dijamin Perlembagaan juga dituduh rasis," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn mencadangkan UMNO sebagai parti komponen terbesar dalam BN supaya mengetuai usaha menjadikan BN sebagai parti pelbagai kaum.
Malah katanya lagi, identiti Melayu dan bumiputera yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, kelahiran Malaysia melalui Persekutuan Tanah Melayu dan kedaulatan Raja-raja Melayu serta Yang Dipertuan Agung perlu dikekalkan.
Sementara itu, Ibrahim mencadangkan supaya Gerakan bersatu dengan MCA serta MIC pula bersikap positif dengan menyerap parti-parti yang mewakili kaum India seperti Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf), Parti Progresif Penduduk (PPP), Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF) dan Makkal Sakthi.
Katanya, DAP dan Gerakan walaupun pelbagai kaum tetapi adalah parti kaum Cina dan PPP dilihat sebagai parti kaum India.

Khamis, Mac 14, 2013
PARLIMEN DIBUBAR ESOK?
Heboh Dewan Rakyat akan dibubarkan esok pada 15 Mac 2013. Kononnya semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib tun razak sudah mengadap Yang Dipertuan Agong untuk memohon perkenan Baginda untuk membubarkan parlimen. Ada yang berhujah bahawa setiap hari Rabu memang PM menghadap Yang Dipertuan Agong sebelum mesyuarat kabinet. Oleh itu tidak timbul parlimen akan dibubarkan esok. Ada sumber mengatakan bekas PM, Tun Dr Mahathir tidak bersetuju parlimen dibubarkan sekarang kerana kononnya BN baru menang 85 buah kerusi daripada 222 kerusi parlimen. Sama ada perkiraan ini betul atau tidak, ia membimbangkan PM untuk membubarkan parlimen di saat ini. Walaupun jutaan rakyat sudah menerima BR1M, tetapi nampaknya undi belum tentu dapat menjamin kemenangan BN. Dalam kes Lahas Datu apabila pengganas Sulu menembak mati 10 askar dan polis, ia membangkitkan semnagt rakyat untuk menentang pencerobohan orang Sulu. Lagu Jamaludin Alias membakar semangat rakyat Malaysia dan nampaknya ia akan memberi kemenangan besar kepada BN. Kita masih ingat pada tahun 1990, BN cemas kalah tetapi bila pemimpin Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah pakai sigah di Sabah, ia membangkitkan semnagat orang Islam untuk mengundi BN. Hal yang sama berlaku sekarang di mana isu kalimah Allah menyebabkan penyokong PAS berpecah dua serta isu pencerobohan di Lahad Datu yang membangkitkan semangat orang Melayu untuk kekal bersama BN. Adakah esok pembubaran akan menjadi kenyataan? sama-samalah kita tunggu kerana inilah kali pertama parlimen genap lima tahun dibubarkan. Biasanya masuk empat tahun, parlimen sudah pun dibubarkan. Pada tahun 2008, pilihanraya umum diadakan pada 8 Mac, tetapi sekarang sesudah genap lima tahun, parlimen masih belum dibubarkan kerana tarikh berkuasa bermula pada hari pertama persidangan Dewan rakyat pada bulan April 2008.

Rabu, April 15, 2009
DUN TERENGGANU PATUT DIBUBAR

Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bertindak luar biasa apabila tidak menghadiri hari kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri di Kuala Terengganu semalam.
Bagaimanapun, mereka akan menghadiri hari ketiga persidangan tersebut hari ini.
ADUN terlibat ialah Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Muhammad Ramli Nuh (Tepuh), Mohd. Zawawi Ismail (Kuala Berang), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Alias Abdullah (Alor Limbat), Zakaria Abdullah (Paka), Ramlan Ali (Jabi) dan Mohd. Pehimi Yusof (Kota Putera).
Rosol berkata, kesemua ADUN berkenaan telah mengadakan perbincangan berhubung perkara itu hari ini dan mengambil keputusan untuk menghadiri sidang DUN hari ini.
Katanya, keputusan itu dicapai selepas mengambil kira jaminan keselamatan yang diberikan oleh pihak polis bagi membolehkan mereka menghadiri persidangan tersebut.
''Selain itu, kami juga akur dengan arahan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri agar kami menghadiri sidang tersebut," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau diminta mengulas mengenai arahan Najib supaya kesemua ADUN terlibat menghadirkan diri ke sidang DUN selama tiga hari itu yang berakhir esok.
Tindakan mereka semalam itu dipercayai mempunyai kaitan dengan sistem pesanan ringkas (SMS) berbentuk ancaman yang diterima Rosol, Abdul Halim dan Zakaria berhubung kemelut politik di negeri ini.
Ia dipercayai susulan kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said untuk mengambil tindakan tegas termasuk memecat ADUN BN jika mereka membentangkan usul tidak percaya terhadap beliau pada persidangan ini.
Berikutan itu, hanya tiga wakil rakyat BN hadir pada sesi soal jawab itu yang didominasi oleh lapan ADUN Pas selain kehadiran 10 Exco kerajaan negeri serta Menteri Besar.
Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN dan lapan daripadanya diwakili pembangkang.
Kelibat 10 ADUN BN berkenaan tidak kelihatan apabila Dewan bermula kira-kira pukul 9.30 pagi, sebaliknya kesemua mereka berada di Felda Residence di sini untuk sesi sidang akhbar bersama kecuali Idris.
Ketiadaan mereka mendapat perhatian Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (PAS-Ladang) yang bertanyakan perkara itu kepada Yang Dipertua DUN, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.
Tengku Putera bagaimanapun berkata: ''Apabila saya masuk Dewan, saya lihat kesemua mereka tiada di tempat masing-masing. Selepas ini, saya akan tanya mereka."
Bagaimanapun, selepas mendapat jaminan polis mengenai keselamatan mereka, kelibat dua daripada 10 ADUN berkenaan iaitu Idris dan Mohd. Pehimi muncul pada pukul 3.20 petang semasa sesi soal jawab diteruskan.
Sementara itu, Rosol pada sidang akhbar di Felda Residence berkata, mereka membuat laporan polis selepas dinasihat berbuat demikian.
''Kerana bimbangkan keselamatan diri dan keluarga, kami membuat laporan polis bagi mengelak kejadian buruk berlaku,'' ujar Rosol.
Beliau berkata, SMS yang diterimanya adalah dari nombor berkomputer manakala Abdul Halim dan Zakaria dari nombor peribadi seorang pegawai tinggi kerajaan negeri yang dikenali.
Menurutnya, keputusan tidak hadir ke persidangan itu telah dimaklumkan kepada Setiausaha DUN kira-kira pukul 8.30 pagi melalui SMS.
Rosol yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Terengganu berkata, SMS itu dipercayai berkaitan dengan ura-ura kononnya wakil rakyat BN akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar pada sidang DUN kali ini.
Katanya, mereka akan menghadiri persidangan tersebut selepas keselamatan mereka dijamin.
Rosol menegaskan, beliau tidak pernah merancang atau berbincang untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar.
''Di sini saya ingin jelaskan bahawa kita tidak pernah berbincang, bertemu dan tidak pernah mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu.
''Jadi saya tidak tahu di mana punca yang menyatakan bahawa akan berlaku undi tidak percaya pada sidang DUN kali ini,'' katanya.
Pada hemat saya, Ahmad Said patut menasihati Pemangku Raja untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri lantaran tindakan 10 ADUN ini. Dengan adanya pilihanraya umum yang baru, dapatlah Ahmad Said selaku Pengerusi BN yang baru memilioh 10 calon BN yang baru menggantikan 10 pemberontak ini.
Apa lagi yang mereka mahu? Adakah ia mahu memalukan Ahmad Said atau memalukan Najib yang baru jadi Presiden UMNO? Oleh itu Ahmad Said kena berani bubar Dewan dan mengadakan pilihanraya umum untuk memilih 32 orang calon yang pro kepadanya. Rakyat yang rugi jika 10 pemberontak ini terus berada dalam Dewan Undangan Negeri. Ia memberi peluang kepada PAS untuk menguasai Terengganu pada pilihanraya umum akan datang. Tambahan pula rakyat Terengganu marah kerana Terengganu hanya ada seorang menteri dan tidak seorang pun yang layak jadi timbalan menteri.
Tindakan segera Ahmad Said membubarkan Dewan Undangan Negeri amat diperlukan untuk membersihkan 10 orang pemberontak dan penderhaka kepada Sultan Terengganu.
Langgan:
Catatan (Atom)