Memaparkan catatan dengan label cawangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label cawangan. Papar semua catatan

Isnin, Julai 01, 2019

SATU BAHAGIAN BERSATU PERAK ADA 10 CAWANGAN

PASIR SALAK, 29 Jun (Bernama) -- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak telah mewujudkan sekurang-kurangnya 10 cawangan di setiap bahagian di negeri ini sebagaimana seruan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Bersatu negeri Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kesemua bahagian di Perak telah memenuhi arahan tersebut malah terdapat beberapa bahagian mempunyai puluhan cawangan.

"Saya menyahut baik apa yang diarahkan oleh Presiden parti...di Perak kita telah memulakan usaha tersebut dan kesemua bahagian telah memenuhi arahan berkenaan.

"Alhamdulillah sejak kita menjadi kerajaan begitu ramai orang Melayu mendekati dan menjadi anggota Bersatu dan sehingga hari ini saya masih menerima permohonan kumpulan-kumpulan yang ingin buka cawangan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kem Jati Diri Perintah Khidmat Masyarakat Zon Utara (pesalah juvana dan belia bawah 21 tahun) di Dewan Bankuet Institut Kepimpinan dan Pembangunan Perak, Universiti Teknologi Mara cawangan Kampung Gajah di sini hari ini.

Semalam, Muhyiddin menyeru agar pucuk pimpinan setiap bahagian perlu mewujudkan cawangan agar anggota parti itu dapat terlibat secara aktif.

Mengenai program hari ini, Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak berkata negeri itu bersedia menjadi tuan rumah dan menjadikan kem jati diri itu sebagai lokasi acara tahunan.

"Kerana saya kira ini program yang penting untuk memperbaiki anak-anak muda kita yang pernah lakukan kesilapan kecil," katanya.

Kem Jati Diri Perintah Khidmat Masyarakat Zon Utara yang dijalankan selama tiga hari sejak Khamis melibatkan 100 pesalah juvana dan belia bawah 21 tahun dari enam negeri termasuk Perak, Kedah, Kelantan dan Selangor.

-- BERNAMA

Rabu, September 16, 2009

KETUA CAWANGAN JADI PERWAKILAN CUKUPLAH


Pergerakan Pemuda UMNO semalam mengesyorkan supaya ketua-ketua pemuda cawangan secara automatik dipilih sebagai perwakilan ke persidangan UMNO bahagian selaras pindaan perlembagaan parti itu.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, jika syor berkenaan diterima 17,000 ketua pemuda cawangan berhak memilih kepimpinan parti di peringkat pusat.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan membentangkan syor berkenaan pada Perhimpunan Agung UMNO bulan depan untuk dibahaskan secara menyeluruh.

"Pergerakan Pemuda UMNO juga akan membentangkan cadangan membenarkan semua ahli jawatankuasa sayap di peringkat bahagian diberi hak memilih pucuk pimpinan parti.

"Jika cadangan ini juga diterima ini bermakna 4,200 lagi pemimpin muda akan terlibat dalam menentukan kepimpinan tertinggi parti," katanya dalam satu kenyataan di Kuala LUmpur semalam.

Pada 11 September lalu, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) bersetuju menghapuskan sistem kuota bagi pemilihan dalam parti iaitu dengan menambah bilangan perwakilan yang diberi hak serta kuasa untuk memilih pemimpin pada masa akan datang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dengan keputusan itu, bilangan perwakilan yang akan diberi hak dan kuasa untuk memilih jawatan tertinggi dalam parti adalah jauh lebih besar daripada 2,500 perwakilan yang dibenarkan sekarang.

Menurut Najib, langkah itu bagi membanteras kegiatan politik wang selain menjadikan proses pemilihan lebih telus untuk menunjukkan UMNO benar-benar parti yang melibatkan seberapa ramai golongan dalam proses pemilihan pemimpinnya.

Reezal Merican yakin dua syor yang bakal dikemukakan itu merupakan satu bentuk perubahan yang boleh menarik minat generasi muda terlibat dengan perjuangan UMNO.

"Kita percaya perubahan ini akan membawa kepada implikasi positif dari sudut perluasan asas keterlibatan generasi muda dalam menentukan kepimpinan tertinggi parti," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pindaan perlembagaan yang akan berlaku dalam UMNO bakal mengubah landskap pemilihan pucuk pimpinan parti.

"Pindaan yang menyeluruh baik dalam ruang perlembagaan, peraturan persidangan mahu pun tataetika parti akan menghadirkan UMNO yang lebih segar dan dinamik di mata rakyat.

"Perubahan-perubahan ini bukan lagi bersikap retorik dan abstrak tetapi menjurus kepada perubahan sebenar, saya pasti Pemuda UMNO di peringkat akar umbi akan menyambut baik perubahan ini," tambahnya.

Nampaknya cadangan pemuda tidak praktikal. kalau ketua pemuda cawangan dibenarkan jadi perwakilan, ketua wanita cawangan dan ketua puteri cawangan pun mahu jadi perwakilan juga. Oleh itu biar ketua cawangan sahaja dibenarkan jadi perwakilan.