Memaparkan catatan dengan label bung. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bung. Papar semua catatan

Rabu, Jun 29, 2016

BUNG MOKHTAR HARAP INSIDEN SEMPORNA TIDAK BERJANGKIT KE PAGOH



Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Bung Moktar Radin berharap tidak akan ada tindakan keluar parti secara besar-besaran oleh ahli dan pemimpin Umno di Pagoh atau di Kedah kerana membantah pemecatan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada parti.

Beliau berkata demikian kepada portal Majlis Ahli Parlimen BN (BNBBC) susulan tindakan ratusan ahli Umno di Semporna yang meninggalkan parti itu kerana membantah penggantungan Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dari Umno.

“Saya terkilan sedikit di mana perkara sebegini berlaku di Semporna iaitu di Sabah kerana seramai 200 cawangan Umno keluar dari parti bersama dengan Naib Ketua Bahagian, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri sekali.

“Ini dilihat sebagai tanda protes terhadap kepimpinan parti.

“Kita perlu perkukuhkan barisan kita. Pemimpin datang dan pergi namun perjuangan parti kena diteruskan.

“Saya percaya Shafie Apdal mampu melakukan yang terbaik. Sudah menjadi lumrah politik, hari ini berkawan esok menjadi lawan,” katanya.

Antara mereka yang mengumumkan keluar parti semalam termasuk Naib Ketua Umno Semporna dan ADUN Sulabayan Datuk Dr Jaujan Sambakong.

Jaujan mendakwa ramai ketua cawangan juga meletak jawatan selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan Umno.

Turut mengambil tindakan sama ialah tiga ketua sayap iaitu Ketua Pemuda Mohd Aziz Jamman, Ketua Wanita Manis Muka Dara dan Ketua Puteri Zakiah Kalipunya dan 200 ketua cawangan bahagian itu.




Walau bagaimanapun, ADUN Bugaya, Ramlee Marahaban mendakwa Umno bahagian Semporna masih tidak tergugat dan ramai yang hadir semalam kerana tidak sedar ia adalah majlis bagi mengisytiharkan mereka keluar parti.

Beliau berkata, sebahagian besar hadir untuk acara berbuka puasa.

Zakiah Kalipunya pula dalam satu kenyataan semalam menafikan dakwaan bahawa beliau turut mengambil tindakan keluar parti sebaliknya memilih untuk setia dalam Umno dan meneruskan wadah perjuangan sehingga tamat tempoh penggal.

Sabtu, Februari 13, 2016

PARLIMEN SEPI TANPA BUNG MOKHTAR

Malam kelmarin saya bermimpi menemui ahli parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin. Pagi semalam kawan dari Sabah, Sapari Idal menelefon saya ajak menziarahi Bung Mokhtar yang baru balik dari China menjalani pembedahan buah pinggang.

Sapari yang sedang bersedih menerima berita kematian emak saudaranya di Hospital Seremban tidak sempat ke Seremban kerana jenazah emak saudaranya dibawa pulang ke Sandakan. Oleh itu beliau mengajak saya menziarahi Bung Mokhtar yang merupakan sahabat lama kami di Hospital Prince Court.

Saya mengenali Bung Mokhtar ketika saya  bertugas di Sabah pada tahun 1989. Ini bermakna sudah 27 tahun saya berkawan dengan beliau. Beliau memang seorang pemimpin muda yang berani menegur kerajaan PBS dan  seorang pemimpin yang pemurah.Ketika itu beliau masih bekerja dengan Jabatan Hal Ehwal Khas Penerangan. Ketika itu beliau adalah Exco Pemuda USNO bersama Datuk Johari Janan, Datuk Rizalman Abdullah dan Kepli Abas (arwah).

Setiap kali Bung Mokhtar, Johari dan Kepli tiba dari Sandakan, saya mengambil mereka di air port Kota Kinabalu. Saya hantar mereka ke hotel di KK selepas itu saya selesaikan kerja saya. Sebelah malam kami bertemu di hotel mereka memburu berita daripada mereka tokoh muda dalam USNO.

Selepas Umno masuk ke Sabah, Bung Mokhtar bertanding di DUN Kuamut pada tahun 1995 tetapi kalah. Bagaimana pun pada tahun 1999, beliau menang di parlimen Kinabatangan. Sudah empat penggal beliau mewakili rakyat Kinabatangan.

Beliau merupakan ahli parlimen yang lantang di parlimen. Berani berdebat dengan Karpal Singh dan selalunya beliau menimbulkan isu kontroversi apabila menggelar Karpal Singh sebagai OKU. Walaupun beliau menang kerusi ahli majlis tertinggi Umno pada tahun 2008, beliau dikekalkan sebagai ahli parlimen biasa kerana BN memerlukan back bencher yang lantang di parlimen seperti Bung Mokhtar. Selepas memenangi kerusi ahli majlis tertinggi buat kali kedua pada tahun 2013, baharulah beliau dilantik Pengerusi FELCRA.

Sejak empat bulan lalu parlimen sepi tanpa Bung Mokhtar. Rupanya beliau sakit dan berada di China menunggu giliran untuk mendapatkan buah pinggang yang baharu. Beliau pergi ke hospital buah pinggang yang terkenal di China di mana ramai pemimpin telah membuat pembedahan buah pinggang di situ seperti Tan Sri Sabaruddin Chik, Datuk Lajim Okin, Datuk Zaki Gusmiah dan Rosnah Majid.

Semalam ketika kami menemui Bung Mokhtar, beliau kelihatan semakin sihat. Dan sebulan dua lagi beliau dapat beraksi semula di parlimen. Sudah tentu kemunculannya di parlimen ditunggu tunggu kerana beliau adalah satu satunya ahli back bencher yang berani bersemuka dengan pembangkang. Selamat kembali ke tanah air, Bung.