Selasa, Ogos 31, 2021

POK YA DALAM KENANGAN

 


Pagi ini jam 12.20 saya terima berita kematian Zakaria Yaacob bekas pegawai TDC daripada anaknya Wahida.


Arwah yang lebih dikenali sebagai Pok Ya pencen awal apabila beliau ditawarkan jawatan pegawai khas kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada tahun 2014.


Ketika di TDC beliau pernah bertugas di Jakarta selama dua tahun. Berasal dari Kelantan tetapi beliau lama menetap di Terengganu.


Arwah pernah menjadi ahli jawatankuasa pemuda Umno Bahagian Marang pada awal 80an sewaktu pemuda diketuai Datuk Abdul Rahman Bakar.


Saya kenali Pok Ya melalui kawan saya Izam yg juga pegawai TDC org Terengganu juga. Saya pernah berkunjung ke rumah Izam di Kg Baru pada tahun 1985. Di situ saya kenali Rahman Bakar yg masih menjadi guru ketika itu. Kebetulan Rahman datang menemui kawannya di rumah sewa tersebut. 


Pok Ya seorang yang peramah. Setiap kali bertemu di restoran Nagas macam macam kisah yang arwah cerita sejarah Umno di zaman Wan Mokhtar, Idris Jusoh dan Ahmad Said.


Arwah adalah pencerita yang baik. Selepas berpindah ke Terengganu pada tahun 2014 saya jarang bertemunya tetapi dia selalu berhubung dengan saya melalui wasap.


Selepas arwah dipotong kaki kerana kencing manis pada tahun lepas, saya tak sempat menemui arwah kerana pkp tidak mengizinkan saya merentas negeri tetapi kami tetap berhubung melalui wasap.


Saya kehilangan sahabat yang baik. Semoga arwah tenang di sana. Alfatihah buat Pok Ya.