Sabtu, Mac 09, 2019

RAMLI CIPTA SEJARAH ORANG ASLI PERTAMA ANGKAT SUMPAH AHLI PARLIMEN MINGGU DEPAN



KUALA LUMPUR:  Sejarah tercipta minggu depan apabila buat pertama kalinya seorang Ahli Parlimen dalam kalangan Orang Asli akan mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat di Parlimen.

Beliau ialah Ramli Mohd. Nor, calon Barisan Nasional (BN) yang menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari lalu.

Difahamkan beliau akan mengangkat sumpah pada hari Selasa pukul 10 pagi.

Detik itu menggembirakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melihat perkembangan itu sebagai satu kejayaan, setelah beliau sendiri turun padang berkempen untuk memastikan kemenangan Ramli dan BN.

"Minggu depan, saudara Ramli akan angkat sumpah. Detik bersejarah. Ahli Parlimen pertama daripada kalangan Orang Asli. Ini kejayaan rakyat," katanya menerusi hantaran dalam laman Facebook beliau hari ini.

Ramli menang PRK Parlimen Cameron Highlands dengan mendapat 12,038 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) , M. Manogaran yang mendapat 8,800 undi

Dua calon Bebas, Sallehuddin Ab. Talib menerima 314 undi manakala dan Wong Seng Yee 276 undi.

Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-14 akan bermula pada 11 Mac ini dengan sidang Dewan Rakyat berlangsung sehingga 11 April depan dan diikuti dengan sidang Dewan Negara sehingga 9 Mei.