Isnin, September 24, 2018

SIAPA RANCANG KEKECOHAN DI PEMILIHAN PKR CABANG MERBOK?

SUNGAI PETANI, 23 Sept (Bernama) -- Insiden kekecohan yang berlaku pada proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di cabang Merbok dan Jerai semalam dipercayai dilakukan pihak tertentu yang sememangnya dirancang lebih awal dan membabitkan pemimpin tempatan.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul berkata ia berdasarkan kepada insiden yang berlaku berturut sebelum itu yang pada mulanya di Sungai Petani diikuti Merbok dan Jerai selepas itu.

"Mereka dipercayai individu sama yang seramai lebih 50 orang dan terdapatnya beberapa pemimpin parti tempatan yang membuat kecoh di Sungai Petani dan kemudiannya di dua tempat itu.

"Saya sendiri melihat kejadian itu ketika melawat pusat pemilihan cabang Jerai di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Choong Hwa di Gurun apabila sekumpulan individu datang merempuh dewan dan bertindak ganas secara tiba-tiba," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Polis telah menahan 10 lagi lelaki yang dipercayai terlibat menimbulkan kekecohan semasa pemilihan PKR Cabang Merbok sehingga menyebabkan kecederaan dekat sini semalam.