Selasa, September 11, 2018

SAYA TIDAK AKAN LEPASKAN KERUSI KATA DATUK MANSOR

GEORGE TOWN, 10 Sept (Bernama) -- Anggota Parlimen Nibong Tebal Datuk Mansor Othman menafikan mesej yang tular di aplikasi WhatsApp bahawa beliau akan mengosongkan kerusi parlimen itu bagi memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil (PRK).

"Mesej itu tidak betul. Saya nafikan akan melepaskan kerusi Nibong Tebal. Saya tidak akan melepaskan kerusi Nibong Tebal," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mesej yang tular menerusi aplikasi WhatsApp itu menyatakan mesyuarat khas PKR pada tengah hari ini bersetuju peletakan jawatan Mansor sebagai Anggota Parlimen Nibong Tebal dan memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding kerusi tersebut.

Mesej itu turut menyatakan Pengerusi PKR Pulau Pinang itu akan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.