Selasa, Julai 03, 2018

TUNGGU TIGA TAHUN LAGI KJ LAWAN ZAHID

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin mendakwa ramai perwakilan parti itu diarah, diugut, dan dipaksa untuk mengikut pilihan 'warlords' dalam pemilihan UMNO peringkat bahagian dan majlis tertinggi semalam.

Khairy yang tewas kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam perebutan jawatan Presiden UMNO berkata sistem undi bahagian berpihak kepada ?warlords' yang mempunyai cengkaman kuat ke atas bahagian mereka walaupun statistik undi popular menunjukkan majoriti anggota parti itu mahukan perubahan.

"Majoriti ahli nak berubah tetapi warlords masih pekak terhadap suara rakyat."

"Angguk-angguk, tepuk-tepuk, seolah-olah tiada pendirian sendiri," katanya menerusi laman Twitter hari ini.

Walaupun bekas Menteri Belia dan Sukan itu menerima keputusan semalam dengan hati terbuka, beliau mahu anggota parti supaya membuang mentaliti feudal selain mengulangi pendiriannya untuk melihat perubahan dalam UMNO.

Ahmad Zahid, yang sebelum ini naib presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden, dipilih sebagai Presiden UMNO apabila mendapat 93 undi, jauh mendahului dua pencabar utamanya iaitu Khairy yang memperoleh 51 undi dan veteran parti, Tengku Razaleigh Hamzah yang meraih 23 undi.

Ulasan saya, apa yang diucap oleh Khairy amat benar. Ramai ahli Umno mahu buat perubahan tetapi diugut oleh "warlord" yang menguasai bahagian. Warlord ini pula telah dibela oleh sekian lama oleh calon  tertentu dengan dibayar elaun bulanan maka agak sukar untuk merubah mereka yang sudah biasa dengan politik wang.

Oleh itu, Khairy kena tunggu tiga tahun lagi untuk menentang Zahid bagi jawatan Presiden Umno. Tahniah Khairy yang berani bertanding jawatan presiden sedangkan jika beliau bertanding jawatan naib presiden Umno sudah tentu beliau menang tetapi beliau sudah berkorban untuk buat perubahan.