Jumaat, Mei 04, 2018

DENGAN RAFIZI RAZALI BERANI BERDEBAT APATAH LAGI DENGAN SYED SADDIQ

MUAR, 2 Mei (Bernama) -- Penyandang kerusi Parlimen Muar Datuk Seri Razali Ibrahim hari ini menyahut cabaran calon PKR daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk berdebat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata tiada masalah untuk beliau berdebat jika ia membawa faedah kepada Parlimen Muar.

"Saya sebagai wakil rakyat memang melayan semua orang, jika debat itu memberi faedah dan menjadi keutamaan kepada mereka, beritahu sahaja di mana dan bila," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk dan komuniti nelayan di Sungai Balang dekat sini, hari ini.

Bagaimanapun, Razali berkata beliau belum menerima surat jemputan daripada calon muda itu.

Isnin lepas, Syed Saddiq mempelawa Razali berdebat pada hujung minggu ini dengan topik siapa pilihan pengundi untuk membentuk kerajaan di Putrajaya.

Syed Saddiq juga mengajak calon PAS yang bertanding di parlimen itu Abdul Aziz Talib dan akan menghantar surat kepada Razali dan Abdul Aziz.

Sementara itu, pada majlis berkenaan Razali juga melihat replika kapal layar yang dibuat daripada kira-kira 250 bendera BN.

Replika yang juga diperbuat daripada buloh itu dibina seorang nelayan Nor Azmi Kenang, 41, sebagai kejutan kepada Razali yang sering melawat jeti berkenaan.

Nor Azmi berkata kapal pembinaan kapal yang dibina bersama beberapa lagi rakannya itu mengambil masa tiga minggu untuk disiapkan.

"Ia sebagai tanda sokongan dan meraikan sistem demokrasi di negara. Ia juga sebagai penghargaan kepada wakil rakyat BN yang memberikan khidmat terbaik di kawasan ini," katanya.

-- BERNAMA