Isnin, April 30, 2018

MB YANG CAKNA MASALAH RAKYAT




SEREMBAN: Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan telah membuktikan bahawa beliau adalah MB yang cakna masalah rakyat. Sebab itulah beliau menang tanpa bertanding di DUN Rantau apabila PAS tidak meletakkan calon selepas calon PKR tidak dibenarkan SPR masuk ke dalam dewan kerana tidak ada pas SPR.

Apabila 43 orang pekerja estet Ladang Kirby di Labu enggan berpindah setelah estet itu dibeli oleh Sime Darby, Mohamad telah menemui Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu, Datuk Seri Rahman Dahlan memohon peruntukan untuk membina projek perumahan rakyat (PPR) di ladang tersebut.

Projek itu diluluskan oleh menteri baharu, Tan Sri Noh Omar dan impian penduduk Ladang Kirby menjadi kenyataan apabila MB melancarkan projek tersebut sebanyak 200 unit pagi ini.

"Mereka tolak pampasan yang diberikan oleh Sime Darby kerana ladang ini satu nostalgia buat mereka. Maka kerajaan negeri bersetuju PPR dibina di kawasan ladang Kirby seluas 43 ekar, dan 43 orang ini diberi keutamaan mendiami PPR tersebut manakala 157 orang lagi diambil dari rakyat Negeri Sembilan," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan PPR Labu yang dibina oleh Tulangis Sdn Bhd.

Beliau memuji Ketua Pegawai Eksekutif Tulangis Sdn Bhd, Datuk Seri Mohamed Rahim Husin yang membina projek tersebut kerana track record Tulangis yang banyak membina PPR di seluruh negara.

Dalam ucapannya, beliau berseloroh kalau Datuk Seri Rahim gagal membina PPR Labu beliau akan dilarang masuk ke Negeri Sembilan.

"Apabila Datuk Seri Rahim sampai sempadan Negeri Sembilan di Nilai, secara automatik beliau tidak boleh masuk ke negeri ini," kata beliau sambil disambut gelak ketawa hadirin.

Menteri Besar juga meminta kementerian memasukkan dalam bajet 2019 untuk membina 300 lagi PPR Labu di kawasan sebelah tapak yang sedia ada.

Beliau juga meminta Majlis Perbandaran Nilai memberi kerjasama kepada kontraktor supaya dapat membina projek ini pada bulan Julai nanti dan ia dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

Dalam ucapannya juga, beliau meminta SPR memberi kebenaran kepada calon PKR. S. Streram  untuk bertanding pada PRU 9 Mei nanti.

"Saya sudah bersedia untuk lawan calon PKR. Saya yakin BN menang kerana penduduk Rantau mengenang budi BN. Orang PKR pun tak kenal calon tersebut kerana dia orang Selangor dan bukan orang Rantau," katanya.

Pada hari penamaan calon Sabtu lalu, Mohamad adalah calon tunggal yang menang tanpa bertanding.

Beliau yang juga ahli majlis tertinggi Umno percaya ada konspirasi untuk memburukkan beliau kerana apabila calon PKR itu tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan sekejap sahaja isu itu diviralkan oleh pihak pembangkang ke seluruh negara.

"Sedangkan Tok Mun calon Bebas di Kuala Terengganu  dahulu pun mohon pas SPR kenapa dia yang enggan mohon pas SPR," soal beliau.

Katanya, S. Streram sengaja tidak mohon pas SPR kerana mahu menyalahkan SPR dan menuduh beliau berpakat dengan polis tidak membenarkan calon PKR itu masuk ke dalam Dewan.

"Saya tidak tahu menahu kerana saya duduk dalam Dewan. Malah isteri saya yang tiada pas SPR pun tidak dibenarkan masuk juga," katanya lagi.