Khamis, April 26, 2018

KU NAN BERANI ARAH MYPPP PECAT KAYVEAS TETAPI TIDAK BERANI PECAT AHMAD SAID

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Setiausaha Agung MyPPP Mohan Kandasamy hari ini berkata Tan Sri M. Kayveas dipecat daripada parti itu semalam.

Ketika dihubungi Bernama di sini, Mohan berkata pemecatan itu yang berkuat kuasa serta-merta dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT) MyPPP selepas mendapati Kayveas mengambil tindakan yang bertentangan dengan kepentingan parti serta Barisan Nasional (BN).

Terdahulu hari ini, Kayveas mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Presiden MyPPP selepas memegang jawatan itu lebih dua dekad, berkuat kuasa Isnin, menerusi catatan pada laman Facebook dan Twitter beliau.

Mengulas lanjut, Mohan berkata keputusan memecat Kayveas dicapai sebulat suara dalam mesyuarat MT parti malam semalam.

"Keputusan ini dibuat susulan penemuan jawatankuasa disiplin parti (berhubung Kayveas bertindak di luar kepentingan parti) malam tadi. Kayveas tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atau menghadiri mesyuarat dengan anggota parti," katanya.

Mohan berkata buat masa ini parti akan diterajui oleh Naib Presiden Kanan Datuk Seri Maglin Dennis D'Cruz selaku pemangku presiden.

Mengulas lanjut, Mohan berkata tindakan disiplin terhadap Kayveas diambil selepas parti menerima surat daripada Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengarahkan Kayveas dikenakan prosiding disiplin kerana membuat keputusan unilateral berhubung agihan kerusi.

Ditanya sama ada MyPPP menerima surat peletakan jawatan daripada Kayveas, Mohan berkata: "Tiada sebarang notis diterima secara rasmi. Namun saya diberitahu beliau mengumumkan peletakan jawatannya itu menerusi catatan dalam media sosial Facebook dan Twitter."

Menurutnya Kayveas membuat keputusan secara unilateral berhubung agihan kerusi untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, bertindak sendiri tanpa berbincang dengan MT. "Jawatankuasa disiplin mendapati perbuatan itu satu kesalahan serius kerana membawa kesan yang sangat buruk dan mungkin merosakkan hubungan dengan parti komponen BN yang lain dan BN sendiri. Surat yang dihantar Tengku Adnan semalam memberi bayangan yang MyPPP mungkin diminta keluar daripada BN," katanya.

Sehubungan itu katanya menjadi tanggungjawab jawatankuasa disiplin untuk membincangkan isi kandungan surat tersebut serta memutuskan sama ada Kayveas telah melanggar perlembagaan parti.

"Kami sebulat suara memutuskan yang beliau bertindak sendirian tanpa berbincang mengenai isu penting berhubung peruntukan kerusi untuk MyPPP," katanya.

Mohan berkata Kayveas juga melanggar perlembagaan parti apabila menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, juga tanpa berunding dengan MT, untuk menyerahkan kesemua lima kerusi yang diperuntukkan kepada parti pada PRU14 ini semata-mata bagi mendapatkan kerusi Cameron Highlands.

Katanya semasa anggota MT bertemu perdana menteri untuk membincangkan agihan kerusi, Najib secara jelas menyatakan kerusi Cameron Highlands tidak akan diperuntukkan kepada Kayveas atau MyPPP kerana ia milik MIC.

"Apabila kami tanya mengapa beliau (Najib) benarkan Kayveas bekerja (di Cameron Highlands), perdana menteri berkata 'saya tidak pernah suruh dia bekerja di situ'. Beliau jawab secara terus-terang. Sebelum itu kami difahamkan beliau (Kayveas) dapat endorsemen namun sebenarnya kerusi itu milik MIC," jelas Mohan.

Ulasan saya, pelik juga  Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor (Ku Nan) berani arah MyPPP pecat Kayveas dari parti tersebut kerana beliau mempertikaikan keputusan BN memberikan kerusi Cameron Highlands kepada MIC tetapi beliau membisu seribu bahasa melihat video Astro Awani yang memaparkan calon Kijal, Datuk Seri Ahmad Said mengutuk calon Chukai, Datuk Mohamad Awang Tera.

Pelik bin ajaib kenapa Ku Nan bersikap double standard. Dengan jelas Ketua Umno Bahagian Kemaman itu menghentam pencalonan semula Mohamad Awang Tera di mana  video Astro Awani itu telah diviralkan oleh para penyokong PAS.

Ternyata kenyataan Ahmad Said itu menguntungkan puak pembangkang dan sewajarlah Ku Nan menggugurkan keahlian bekas Menteri Besar Terengganu itu daripada Umno dan menggantikan calon Kijal dengan orang lain.

Kenapa Ahmad Said yang pernah membuat usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman tidak pernah diambil tindakan oleh Umno. Dengan Kayveas Ku Nan bukan main berani, dengan Ahmad Said Ku Nan menikus. Buat malu jadi Setiausaha Agung Umno.