KUALA LUMPUR: MyPPP tetap akan bertanding di Cameron Highlands walaupun MIC akan mewakili BN pada PRU 9 Mei ini.
Menurut Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas, beliau telah menjaga parlimen Cameron Highlands sejak empat tahun lalu selepas Presiden MIC, G Palanivel dipecat dari MIC.
"Sebagai anak tempatan saya telah bergaul dengan rakyat Cameron Highlands setiap minggu dan saya kecewa apabila BN mengekalkan status quo kepada calon MIC," katanya dalam sidang akhbar di hadapan perkarangan pejabat MyPPP di sini petang semalam.
Sebaliknya MyPPP ditawarkan bertanding di kerusi parlimen Segambut di Wilayah Persekutuan.
"Sepatutnya lima tahun lalu saya sudah diarah menjaga parlimen Segambut maka mudah bagi saya bermesra dengan rakyat Segambut. Bertanding di saat saat akhir di Segambut tidak ada makna kerana penduduk Segambut tidak mengenali saya," katanya.
Sehubungan dengan itu beliau tetap dengan pendirian beliau kekal bertanding sebagai calon MyPPP menentang calon BN dan calon PKR.
"Yang peliknya MIC mahu meletakkan calon yang pernah berada dalam MyPPP. Dia kata sudah keluar dari MyPPP tetapi dalam sistem kami namanya kekal sebagai ahli seumur hidup MyPPP dan tak pernah hantar surat untuk keluar dari MyPPP untuk sertai MIC," dakwa beliau.
Katanya, mana boleh sertai dua parti sekaligus dan jika dia juga adalah ahli MIC maka jika beliau terlibat dalam pemilihan MIC, ia adalah tidak sah.
Katanya lagi, MyPPP tetap dengan pendirian mahu bertanding di Cameron Highlands kerana majoriti pengundi di situ dapat menerimanya sebagai wakil rakyat mereka berdasarkan perkhidmatan kepada rakyat Cameron Highlands sejak empat tahun lalu.