Ahad, Mac 11, 2018

KERAJAAN HILANG RM416 BILION JIKA GST, TOL, PINJAMAN PTPTN DAN DUTI EKSAIS DIMANSUHKAN

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan menanggung kehilangan hasil negara berjumlah RM416.6 billion jika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), tol, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan duti eksais dimansuhkan, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau berkata pemansuhan GST akan menyebabkan negara kehilangan RM45 bilion manakala tol (RM338 bilion), PTPTN (RM3.9 bilion) dan duti eksais (RM2.4 bilion).

Katanya pemansuhan itu juga akan menjadikan hutang negara semakin meningkat.

"Kita akan kehilangan RM45 bilion jika mansuhkan GST. Ia satu angka yang besar dan kami tidak memperkenalkannya begitu sahaja, (tetapi) kami telah membuat kajian selama bertahun-tahun.

"Sebanyak 160 buah negara di dunia telah melaksanakan GST. Pelbagai peratusan dikenakan, tetapi di Malaysia, kita mengambil enam peratus -- kadar yang lebih munasabah, tidak begitu membebankan ekonomi dan rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini