Selasa, Disember 05, 2017

KHALID NAFI TERIMA RASUAH

ISKANDAR PUTERI, 4 Dis (Bernama) -- Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan rasuah yang didakwa diterimanya seperti terkandung dalam dokumen siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes rasuah dan skandal hartanah membabitkan bekas Exco negeri ini, yang tersebar luas di sebuah blog baru-baru ini.

"Pentadbiran saya tidak menerima apa-apa suapan, tidak akan menerima apa-apa suapan dan akan menentang segala usaha untuk memberi apa jua bentuk suapan," kata beliau ketika sesi penggulungan pada Persidangan Penggal Kelima DUN Johor ke-13, di sini hari ini.

Mohamed Khaled percaya tuduhan rasuah ke atasnya dibuat secara 'mala fide' (niat jahat) untuk memalukan nama baik secara peribadi dan kepimpinan kerajaan negeri.

Beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai Wong Shu Qi berhubung tindakan mendedahkan dokumen SPRM yang disahkan sebagai dokumen rahsia rasmi kerajaan.

Wong yang ditemui pemberita selepas persidangan DUN berkata beliau bersikap terbuka untuk disiasat oleh mana-mana pihak berkuasa yang berkenaan.