Ahad, November 19, 2017

PERKASA AKAN BUAT KEPUTUSAN SOKONG BN ATAU PH MENJELANG HARI PENGUNDIAN



KUALA LUMPUR 19 Nov.- Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hanya akan memilih parti yang memperjuangkan agenda Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, pihaknya akan menilai manifesto daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan sebelum membuat sebarang keputusan.


“Tunggu dahulu, buat masa ini kita tidak menyokong mana-mana parti kerana mahu lihat manifesto mereka apa agenda untuk orang Melayu.

“Selepas membuat keputusan saya akan memberitahu ahli dan yakin mereka akan mendengar pandangan saya demi masa depan Melayu,” katanya ketika sidang akhbar selepas majlis Perasmian Persidangan Agung Tahunan ke-8 Perkasa di sini hari ini.

Tambah Ibrahim, sekiranya kesuntukan masa beliau mungkin akan menghantar pesanan ringkas kepada ahli-ahli Perkasa untuk menyatakan pendiriannya walaupun terpaksa berbuat demikian ketika hari pengundian.