Khamis, September 14, 2017

AMANAH SOKONG PESTA ARAK DAP?

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- PAS hari ini mencabar parti komponen dalam pakatan pembangkang untuk menyatakan pendirian mereka berhubung penganjuran pesta arak yang dijadual diadakan di ibu negara bulan depan.


Naib Ketua Pemuda PAS Pusat Ahmad Fadhli Shaari berkata suara lantang yang dizahirkan DAP dalam mempertahankan penganjuran berkaitan (pesta arak) dilihat bukan sahaja satu kebiadaban, bahkan modal kepada provokasi tipikal parti tersebut di mana acapkali membayangi aktiviti seperti itu.

"Kami juga mencabar dan menuntut parti-parti komponen Pakatan Harapan menyatakan pendirian dan sikap mereka berhubung isu ini. Berdiam diri bererti bersetuju dan bersekongkol, sekali gus mengesahkan DAP adalah 'ketua' sebenar PH yang tidak berani disanggah sama sekali," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan laman Facebook PAS Pusat, hari ini.

Menurut beliau, penganjuran pesta arak dilihat secara sengaja cuba mencabar sensitiviti agama di negara ini apabila acara tahunan sejak 2012 itu diuar-uarkan sebagai 'The Biggest Celebration of the Craft Beer Revolution in Malaysia'.

"Selaku negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Malaysia tidak seharusnya menoda kesucian tersebut dengan kebebasan begitu.

Walaupun meminum arak menjadi hak golongan bukan Islam yang menjadi sebahagian rakyat negara ini, namun menjadikan satu penganjuran pesta ke tahap festival tidak seharusnya berlaku di negara ini. Ia tidak mencerminkan realiti budaya Malaysia, bahkan juga rantau ini," katanya.

Ahmad Fadhli berkata kebanyakan negara dan masyarakat pada masa ini semakin sedar pelbagai akibat buruk yang tercetus akibat meminum arak atau aktiviti berkaitannya.

"Ia menyumbang kepada banyak tragedi mutakhir ini hingga mewujudkan pelbagai kempen kesedaran untuk mengehadkan dan menghindarinya daripada menjadi rutin dalam ketamadunan. Mengapa kita pula harus berundur ke belakang menjauhi nilai semakin positif ini," katanya.

-- BERNAMA