Jumaat, Julai 28, 2017

TAREKAT DAPAT MEMBANTU SELURUH UMAT ISLAM

KUALA LUMPUR:  Yang Dipertua Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA), Datuk Ashaari Ibrahim yakin melalui tarekat ia dapat membantu seluruh umat Islam.

Katanya, kekuatan umat Islam yang sebenar terletak kepada mereka yang mengamalkan tarekat.

Sehubungan dengan itu beliau terharu dengan keputusan persidangan ulama sedunia yang diadakan selama tiga hari di UTM yang bersetuju menubuhkan Pusat Sufi Sedunia di Kuala Lumpur.

"Kita akan melengkapkan pusat sufi yang ada di Morocco dan Indonesia," katanya ketika berucap di majlis penutupan persidangan ulama antarabangsa di UTM di sini petang ini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada penderma yang telah sudi menderma USD1 juta untuk menubuhkan Pusat Sufi Sedunia.

"Pusat ini mungkin akan jadi kenyataan dalam masa enam bulan. Buat permulaan ia akan berpusat di ibupejabat PERTAMA di Jalan Tuanku Abdul Rahman," katanya kepada para pemberita.