Rabu, Mei 17, 2017

MUSTAFAR GAGAL HAPUSKAN RASUAH DI IMIGRESEN



SEPANG 16 Mei - Jabatan Imigresen terkejut berhubung kenyataan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad yang mendakwa jabatan itu tidak memberikan kerjasama me­nyalurkan maklumat berhubung kes rasuah membabitkan pegawai dan anggota imigresen.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, beliau sendiri yang menyalurkan maklumat berhubung penyalahgunaan kuasa oleh anggotanya kepada SPRM membabitkan sindiket pemalsuan permit pegawai dagang.

Tegasnya, Jabatan Imigresen sentiasa bekerjasama dengan SPRM dalam usaha memerangi gejala rasuah sejajar dengan matlamat meningkatkan amalan integriti dalam kalangan pegawai dan anggotanya.


“Malah sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Imigresen saya sendiri merupakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, saya sentiasa membawa bersama soal integriti termasuklah berkongsi maklumat dengan agensi penguatkuasaan lain.

“Saya agak hairan dengan kenyataan Mohd. Fauzi. Mungkin beliau tidak tahu bahawa ini meli­batkan penyaluran maklumat antara Ibu pejabat SPRM dengan Ibu pejabat Jabatan Imigresen. Walau bagaimanapun, beliau telah menghubungi saya baru-baru ini dan menyatakan hasrat untuk bersua muka dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Mohd. Fauzi yang mendakwa Jabatan Imigre­sen tidak memberikan kerjasama kepada pihaknya berhubung siasatan kes rasuah RM28 juta membabitkan kelulusan permit pegawai dagang dalam sidang akhbar sempena Majlis Peras­mian Kaunter Visa Ketibaan (VOA) dan Join Ship di sini semalam.

Sebelum ini, Mustafar memberitahu, pihaknya me­nya­lurkan maklumat kepada SPRM sehingga kepada penahanan anggotanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan Jabatan Imigresen me­lakukan penjenamaan semula kaunter VOA dan Join Ship dalam usaha menambah baik proses keluar masuk warga asing di Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, langkah menaik taraf kaunter VOA dijangka memudahkan urusan kemasukan warga China dan India yang tiba dari Singapura, Thailand dan Indonesia ke negara ini.

“Kemudahan Join Ship pula diberikan kepada anak-anak kapal atau kelasi warga asing yang masuk melalui Malaysia untuk menaiki pelabuhan dalam negara ini,” ujarnya.

Ulasan saya, ini bukti Mustafar Ali gagal mendidik anak buahnya di Jabatan Imigeresen membenci rasuah. Rasuah sudah jadi satu budaya dalam Jabatan Imigeresen. Oleh itu Mustafar Ali perlu ambil tindakan tegas kepada pegawai dan kakitangannya tanpa pilih bulu untuk mela
porkan kepada SPRM jika mereka terbabit dalam rasuah.