Khamis, Mac 16, 2017

DUA ORANG INDIVIDU DISIASAT KERANA BERITA PALSU

CYBERJAYA, 15 Mac (Bernama) -- Seorang pentadbir akaun Facebook kini disiasat kerana disyaki menyebarkan berita palsu dengan mendakwa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah meletak jawatan, demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

SKMM bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman melakukan serbuan ke rumah suspek di Alam Damai, Cheras baru-baru ini berhubung penyebaran berita palsu itu.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan hari ini berkata siasatan awal mendapati, suspek yang menggunakan akaun Facebook atas nama "Melayu Solo" itu merupakan pentadbir kepada akaun FB berkenaan.

Menurut SKMM, siasatan dijalankan di bawah seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam kenyataan berasingan, SKMM turut memaklumkan pentadbir akaun Facebook "Mohd Hanizam Bin Yunus" disiasat di bawah seksyen dan akta yang sama.

Ia berhubung penyebaran kandungan palsu dalam laman Facebook yang mendakwa kononnya anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat dalam operasi ketenteraan dan peperangan di Yemen, kata SKMM.

Menurut SKMM, pihaknya telah bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Negeri Sembilan dalam serbuan ke rumah suspek di Lenggeng, Negeri Sembilan baru-baru ini.

-- BERNAMA



>> Senarai Berita