Sabtu, Januari 21, 2017

BN TERENGGANU PERLU TONJOL LEBIH RAMAI CALON MUDA

Tiga bulan lepas dalam majlis pemukiman penceramah KKMM di Kuala Lumpur, Ketua Penerangan Pemuda Umno Malaysia Jamawi Jaafar berharap pada PRU14 lebih ramai calon muda ditonjolkan sebagai calon BN. Katanya kalau dibandingkan dengan calon Pakatan Harapan, mereka dibarisi oleh calon muda sedangkan majoriti calon BN adalah calon berumur.

Harapan ini patut diamalkan juga di Terengganu dengan membariskan calon muda pada PRU akan datang. Kita lihat sejarah dua bekas MB Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan Datuk Seri Ahmad Said mereka dipilih jadi calon ketika berusia 32 tahun (Wan Mokhtar) dan 33 tahun (Ahmad Said).

Justru itu MB sekarang, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman wajar memberi peluang kepada calon yang belum mencapai usia 40 tahun sebagai calon BN. Terengganu dilihat mempunyai ramai pemimpin muda yang boleh ditonjolkan sebagai calon.

Di Dungun, Muhamad Suza Amsyari dilihat sebagai generasi Y yang berkebolehan. Beliau yang dekat dengan belia dan mempunyai rangkaian yang rapat dengan kepimpinan Umno di Dungun. Anas Hazizil Muhamad adalah seorang pemimpin muda di Kuala Terengganu. Beliau pemimpin muda yang menonjol dan baik hati.

Seorang lagi anak muda di Kuala Terengganu yang wajar diberi perhatian ialah Haji Zaki Mat Yakim, Beliau amat dekat dengan mahasiswa di seluruh Malaysia. Di Besut pula Zahari Mat aktif mendekati anak perantau Besut. Walaupun bertugas di Kuala Lumpur beliau sering balik ke Besut buat program bersama penduduk setempat.

Hulu Terengganu apa kurangnya dengan Ketua Pemuda Umno Terengganu, Johari Abu Bakar. Ketua pemuda yang tidak lokek dengan senyuman Di Kemaman, Ahmad Fikry Ibrahim adalah ketua pemuda yang tegas dan baik hati.  Ahli jawatankuasa pemudanya rela mempertahankan beliau ketika beliau dikatakan menolak tawaran untuk menjadi pegawai khas MB apabila jawatannya sebagai Pegawai Pembangunan DUN Chukai tidak disambung semula.

Seorang lagi anak muda di Hulu Terengganu yang menonjol ialah Ahmad Badrul Hisham Mokhtar. Orangnya sopan, jujur dan suka menolong orang dan rapat dengan ADUN Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Di Setiu Cikgu Ramlan Isa ada potensi kerana rangkaian politik beliau yang kuat. Di Marang Saiful Bahari Baharddin selalu turun padang bersama masyarakat.Di Kuala Nerus Muhamad Rosdi Mat Zin rajin buat program. Keupayaan beliau mengendalikan program program amat menyerlah.

Oleh itu Razif selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu wajar memberi peluang kepada lebih ramai calon muda pada PRU akan datang.