Sabtu, Disember 10, 2016

AMANAH LETAK CALON ORANG ASLI



SHAH ALAM, 10 Dis (Bernama) -- Parti Amanah Negara (Amanah) bersedia mengetengahkan calon dalam kalangan masyarakat Orang Asli pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata keputusan muktamad akan dibuat berdasarkan kesesuaian dan peluang untuk menang.

"Kita akan ketengahkan di kawasan sesuai di Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Nasional parti Amanah yang dirasmikan Presiden parti, Mohamad Sabu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.

Turut hadir pada konvensyen yang julung kali diadakan adalah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Nurul Izzah Anwar dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Konvensyen dua hari itu berakhir esok.

-- BERNAMA