Jumaat, November 25, 2016

MALAYSIA NAIK LIMA TANGGA DALAM INDEKS PEMBANGUNAN ICT 2016

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov (Bernama) -- Malaysia naik lima anak tangga dalam ranking global Indeks Pembangunan ICT (IDI) 2016 iaitu kedudukan kedua di Asia Tenggara, kelapan di rantau Asia Pasifik dan ke-61 daripada 175 ekonomi dunia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Dr Salleh Said Keruak.

"Kedudukan yang lebih baik ini menyaksikan peningkatan 10.3 peratus nilai IDI daripada 5.64 kepada 6.22. Ini adalah sangat menggalakkan bagi Malaysia dan membuktikan kerajaan berada pada landasan yang betul dalam menyediakan Malaysia ke arah ekonomi itu," katanya.

Salleh berkata demikian ketika mengulas laporan tahunan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) mengenai "Laporan Mengukur Masyarakat Bermaklumat" (MIS2016) di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat ASEAN (TELMIN) ke-16 yang bermula di sini hari ini.