Isnin, September 26, 2016

LAWATAN AHMAD ZAHID KE NEW YORK MENINGGALKAN KESAN

NEW YORK, 25 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau telah melaksanakan tugas mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) bagi sesi ke-71 dan melakukan yang terbaik seperti yang diamanahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada beliau.

"Pada hemat saya, saya tidak akan pernah menggagalkan kepercayaan dan amanah perdana menteri apabila ia diberikan kepada saya untuk saya berbincang dan persembahkan di pentas antarabangsa," kata timbalan perdana menteri.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, memberitahu demikian kepada media Malaysia dalam rumusan mengenai lawatan kerja beliau ke New York mulai 17 hingga 25 Sept bagi mengetuai delegasi Malaysia di UNGA.

Beliau berkata berdasarkan sifat perikemanusiaan, Malaysia telah menyuarakan beberapa isu berkaitan dunia Islam seperti Syria, Palestin dan Rohingya pada Perhimpunan Agung dan mesyuarat lain yang berkaitan.


"Walaupun Malaysia mungkin bukan menjadi pemain dan pelakon utama tetapi kita boleh menyumbang untuk turut terlibat dalam isu kemanusiaan sejagat ini," katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau gembira bahawa perkara-perkara yang dibangkitkan beliau dalam ucapan pada perbahasan umum Perhimpunan agung pada Sabtu menjadi satu keseimbangan kepada kebimbangan tempatan dan antarabangsa.

Ucapan beliau berkisar tema keganasan; Palestin; pelarian, migran dan perhambaan moden; perubahan iklim; Rancangan Malaysia Ke-11; Strategi Lautan Biru Kebangsaan; dan kesukarelawanan.

Ahmad Zahid juga mengambil peluang untuk memaklumkan Perhimpunan Agung itu dan memperkenalkan buku mengenai deradikalisasi, suatu benteng Malaysia yang ingin dikongsi Kuala Lumpur dengan negara-negara lain bagi menghadapi ancaman kumpulan pengganas.

Ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Perancis dan Arab.

Selain menyeru masyarakat dunia untuk bersatu menentang keganasan pada Sabtu, Timbalan Perdana Menteri telah memaklumkan Mesyuarat Majlis Keselamatan Peringkat Tinggi mengenai Syria pada Rabu bahawa selepas tempoh lima tahun, sudah tiba masanya untuk menyelesaikan konflik di Syria.

Ahmad Zahid mendapat pujian kerana menarik perhatian kepada realiti serius yang dihadapi Syria terutama kanak-kanak, apabila penduduk dihujani dengan bom dalam konflik yang bermula pada 2011.

Beliau bertemu Perdana Menteri Lubnan Tammam Saeb Salam di luar UNGA untuk mendapatkan bantuan Lubnan berhubung hasrat Malaysia untuk menyambut migran Syria termasuk dalam bidang pemeriksaan keselamatan.

Beliau juga meningkatkan perhatian mengenai keadaan yang sama buruknya di Palestin dengan sekatan ke atas Gaza, perluasan penempatan haram Israel, pembinaan dinding haram yang berterusan, pemindahan paksa rakyat Palestin dari rumah mereka dan pencabulan hak asasi manusia rakyat Palestin.

Ahmad Zahid berusaha sedaya upaya dalam usaha mendapatkan penyelesaian kekal berhubung kehadiran 150,000 pelarian dan pemohon suaka di Malaysia dalam perbincangan dengan ketua agensi pelarian PBB Filippo Grandi.

Lawatan rasminya begitu berjaya dengan mendapatkan ikrar daripada Motorola Solutions untuk memindahkan operasi dua kemudahan syarikatnya ke Malaysia, dalam apa yang dilihat sebagai satu tanda keyakinan buat negara Asia Tenggara itu.

-- BERNAMA