Rabu, Ogos 24, 2016

SUKAN DAPAT MENGUKUHKAN PERPADUAN

(sudah disiarkan dalam Berita Harian semalam)

Oleh Shahbudin Haji  Embun

(Lawyer Pokok Cheri)

Sejak beberapa malam yang lalu, penulis telah mengambil kesempatan melepak bersama dengan  rakan-rakan, menyaksikan perlawanan akhir badminton yang melibatkan pemain Malaysia di Sukan Olimpik Rio. Walaupun kilauan emas masih belum menjelma, namun apa yang membanggakan kita semua ialah sokongan yang tidak berbelah bahagi  dari para penyokong Malaysia yang tidak berhenti henti bersorak walaupun peserta negara berjuang beribu kilometer jauhnya.

Penulis menyaksikan mereka yang menyokong pemain Malaysia adalah terdiri daripada pelbagai kaum.Mereka melihat ahli sukan yang membawa cabaran  negara adalah warganegara Malaysia yang bertungkus lumus dan memberikan yang terbaik untuk melihat Jalur gemilang dikibarkan.Mereka benar-benar berbangga dengan pencapaian ahli-ahli sukan Malaysia di Olimpik Rio. Bak kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas menyaksikan perlawanan akhir perseorangan antara Datuk Lee Chong Wei dengan Cheng Long, “Saya percaya rakyat Malaysia merasakan kebanggan yang sama walaupun tidak menang, tapi ia detik yang mengharumkan nama Malaysia”

Ya, kita gagal mendengar lagu NegaraKu dimainkan sejak bermulanya penyertaan Malaysia dalam Sukan Olimpik, namun kejayaan para ahli sukan negera memasuki pertandingan akhir bagi merebut pingat emas, membuktikan yang impian ini bukan sekadar impian kosong. Kita boleh melakukannya dan berharap program menghasilkan juara Olimpik akan menjadi kenyataan pada SukanOlimpik Tokyo 2020 nanti.

Apa yang penting ialah  sokongan yang tidak berbelah bahagi dari kita semua iaitu rakyat Malaysia. Penulis dapat melihat dan begitu berbangga dengan perpaduan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia , yang mempunyai matlamat dan impian yang sama iaitu untuk melihat Jalur Gemilang dikibarkan dan lagu NegaraKu dimainkan.Semangat perpaduan seperti inilah yang perlu sentiasa disemai dan disemarakkan lagi.

Benar,pihak kerajaan,para penaja dan badan-badan korporat memainkan peranan penting dari segi pembiayaan kepada kemajuan ahli-ahli sukan negara. Namun apa yang membuatkan ahli sukan negara bermain bermati-matian hingga ke titisan peluh terakhir ialah harapan dan sokongan dari rakyat Malaysia. Sokongan yang padu daripada rakyat adalah sokongan keramat yang menjadi senjata kepada kekuatan semangat ahli-ahli sukan negara.

Sebenarnya sukan sudah lama memainkan peranan penting dalam memupuk semangat perpaduan di negara kita.  Bagi generasi lama, sudah pasti dapat mengimbau kembali zaman kegemilangan negara kita ketika memenangi Piala Thomas dahulu. Malaysia telah memenanginya pada tahun 1949, 1952, 1955, 1967 dan juga 1992 . Ketika itu kita dapat melihat bagaimana sukan badminton dapat menyatu dan mengukuhkan perpaduan di kalanga masyarakat Malaysia yang begitu berbangga dengan pencapaian negara memenangi piala berprestij itu. Bahkan, termaktub dalam sejarah bahawa Malaya merupakan negara pertama yang memenangi Piala Thomas pada tahun 1949 apabila menewaskan Denmark dalam pertandingan akhir yang berlangsung di London.

Dan pastinya ramai di antara kita yang masih ingat wira negara Piala Thomas tahun 1992 yang terdiri daripada Rashid Sidek, Foo Kok Keong, Razid Sidek, Jailani Sidek, Cheah Soon Kit dan Soo Beng Kiang. Mereka telah membawa pulang Piala Thomas setelah kali terakhir memenangi piala tersebut pada tahun 1967.Ketika itu, gegak gempita sorakan penyokong bukan sahaja kedengaran di Stadium Negara, dan juga di Dataran Merdeka , tetapi juga di setiap pelusuk negara yang menonton perlawanan akhir itu.

Dan kita juga dapat saksikan sendiri bagaimana sorakan dan sokongan para penyokong telah memberikan semangat kepada para pemain bolasepak negara ketika berlangsungnya pertandingan Pra Olimpik di Kuala Lumpur.Ketika itu pasukan negara diketuai oleh “Taukeh” Soh Chin Aun dan disokong oleh rakannya Santokh Singh di bahagian pertahanan bersama Jamal Nasir dan Kamarudin Abdullah.

Gawang gol pula dikawal oleh R. Arumugam , yang mendapat jolokan “spiderman” Malaysia. Bahagian pertengahan dikemudi oleh Shukur Salleh, Khalid Ali , Abdullah Ali dan Bakri Ibni manakala bahagian serangan dipertanggungjawabkan di bahu James Wong dan Hassan Sani.

Dalam pertandingan akhir, Malaysia telah menewaskan gergasi Asia, Korea Selatan 2-1 hasil jaringan gol Bakri Ibni dan James Wong. Kejayaan itu telah melayakkan pasukan negara ke Moskow, namun disebabkan pencerobohan Rusia ke atas Afghanistan, maka Malaysia telah memboikot Sukan Olimpik Moskow.

Daripada contoh beberapa kejayaan yang dipaparkan tadi, dapat dibuktikan bahawa sukan memainkan peranan penting dalam memupuk dan mengukuhkan lagi semangat perpaduan di negara kita.Ayuh rakyat Malaysia, jangan berputus asa dan teruslah memberikan sokongan padu kepada semua ahli sukan negara yang berjuang untuk negara yang kita cintai ini.