Isnin, Jun 13, 2016

DOLLAH KOK LANAS DALAM KENANGAN



Semalam Tan Sri Abdullah Ahmad (1933-2016) atau Dollah Kok Lanas meninggal dunia. Oleh kerana namanya sama dengan ahli parlimen Kepala Batas 1978, maka Abdullah Ahmad Kepala Batas dikenali sebagai Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) manakala Abdullah Ahmad bekas setpol Tun Razak ini dikenali sebagai Dollah Kok Lanas (DKL).

Di zaman Tun Razak beliau amat berpengaruh. Orang nak jumpa Tun Razak mesti jumpanya terlebih dahulu sebagai tukang tapis. Ada yang boleh beliau selesaikan orang itu tak perlu jumpa Tun Razak menyebabkan ramai yang marah pada Tun Razak kerana tidak dapat menemui Tun Razak.

DKL paling digeruni di zaman Tun Razak yang menyebabkan beliau dibenci. Malah beliau dikatakan menulis ucapan Tun Razak dalam perhimpunan agung Umno 1975 yang menyebut tiga nama sebagai naib presiden Umno yang dikehendaki Tun Razak iaitu Ghabar Baba, Tengku Razaleigh Hamzah dan Dr Mahathir Mohamad. Tindakan ini yang menimbulkan kemarahan calon-calon lain yang bertanding.

Selepas Tun Razak meninggal dunia,  atas desakan golongan lama dalam Umno yang mengatakan Umno diserap dengan komunis, maka Tun Hussein Onn menahan Tiga Abdul (Abdullah Ahmad, Abdullah Majid dan Abdul Samad Ismail) di bawah ISA .

Kesan dari tahanan ISA, DKL lupa nombor kad pengenalannya. Ketika itu saya yang bertugas dengan akhbar Watan mengisi borangnya tanya no kad pengenalannya. Dia lupa nombor kad pengenalannya dan keluarkan kad pengenalannya dari dompetnya sambil berkjata," itu kesan dari ISA".



Beliau lahir pada tahun 1933 di Kampung Bandar, Kok Lanas , Kelantan. Isterinya Puan Sri Fauzah Mohamad Darus. Beliau mempunyai 3 anak dan 3 cucu. Pada 22 Februari 1969, Tun Abdul Razak memberi jamuan meraikan perkahwinan beliau di Dewan Banquasi Parlimen. Jamuan perkahwinan pertama dan terakhir dibenarkan berlangsung di Parlimen.

Belajar di Sekolah Melayu Kampung Bandar, Kok Lanas ; Kolej Melayu Kuala Kangsar(Januari 1948-Disember 1954) sedarjah dengan Tun Hanif Omar dan mendapat pendidikan di Universiti Cambridge dan Universiti Harvard (1982-1985). Beliau pernah belajar peringkat PhD di Universiti Malaya (1990-an) tetapi tidak habis kerana dilantik sebagai Duta Khas ke PBB.


Beliau pernah menjadi pengerusi Syarikat Permodalan Kebangsaan (SPK) pada 1987, sebuah syarikat Bumiputera yang mulanya amat berjaya. Syarikat ini menjalankan perniagaan pengangkutan melalui SJ Kumpulan Sdn Bhd dan Nakufreight Sdn Bhd. SPK menjadi pemaju perumahan Bandar Manjalara di Kepong, Selangor.

Semasa di Amerika, beliau mengunjungi Lyndon Baines Johnson, Naib Presiden Amerika Syarikat di Capitol Hill, Washington DC pada Mac 1962. Lyndon adalah satu-satunya Presiden Amerika yang melawat Malaysia, iaitu pada 30 Oktober 1966 semasa Tunku Abdul Rahman Perdana Menteri.

Sekembali dari belajar di Amerika Syarikat ketika berusia 25 tahun, beliau dilantik menjadi ketua Bahagian UMNO Kok Lanas, Kelantan dan Pegawai Khas Tun Razak (1962). Kemudian dilantik menjadi Timbalan Menteri yang pertama di Jabatan Perdana Menteri (Ogos 1974-1976) setelah menang di parlimen Machang. Beliau merupakan bekas setiausaha politik Perdana Menteri Malaysia ke-2, Tun Abdul Razak sejak Oktober 1973. Abdullah bekerja dengan Tun Razak selama 14 tahun dari 1962 hingga 1976. Beliau menjadi ahli Parlimen Machang (1974-1978). Dalam pilihan raya umum 1986, Dr Mahathir meminta beliau bertanding di kerusi parlimen Kok Lanas, Kelantan dan menang (1986-1990).

Abdullah Ahmad pernah merengkok di penjara selama lima tahun di bawah ISA (Julai 1976- 22 Julai 1981) di zaman pentadbiran Tun Hussein Onn kerana dipercayai terbabit dengan anasir subversif - komunis. Menteri Dalam Negeri ketika itu ialah Tan Sri Ghazali Shafie. Beliau ditahan di bawah ISA bersama Kassim Ahmad (7 tahun), Syed Husin Ali (7 tahun) dan Abdullah Majid (4 tahun) dan Tan Sri Abdul Samad Ismail . Ketika itu terdapat 900 tahanan ISA yang terbabit dengan komunis. Beberapa pemimpin UMNO cuba menyelamatkan beliau dari ditahan di bawah ISA seperti Dr Mahathir Mohamad , Ghafar Baba,Musa Hitam,Abdul Rahman Ya'kub danSyed Nasir Syed Ismail . Pada Februari 1977 sepatutnya Abdullah Ahmad dan Abdullah Majid mengadakan sesi pengakuan di televisyen berhubung pembabitan mereka dengan komunis.

Ramai yang dibebaskan ketika Dr Mahathir Mohamad mula dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-5 pada Julai 1981.  Selepas dibebaskan dari tahanan politik, beliau menulis artikel dan buku termasuk yang 'menghentam balas' terhadap Ghazali Shafie. Ghazali Shafie atau 'King Ghaz' atau 'Ghulam' cukup tegas terhadap komunis dan berusaha menjadi Timbalan Perdana Menteri. Ghazali Shafie dari golongan tua sementara DKL dari golongan muda.





Beliau terkenal dengan isu Ketuanan Melayu yang disampaikan pada 30 Ogos 1986 di Institute of International Affairs, Singapura . Semua orang Melayu terutama UMNO menerima konsep Ketuanan Melayu sementara bukan Melayu menidakkannya . Gerakan dan Lee Lam Thye dari DAP meminta kerajaan mengenakan tindakan terhadap Abdullah. 'Malay Dominance' disalah terjemah sebagai 'Ketuanan Melayu'.


Apabila beliau kalah dalam pilihan raya umum, Dr Mahathir Mohamad melantik Abdullah Ahmad menjadi duta khas ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selama 2 tahun. Di New York beliau menulis dua buah buku berkaitan dengan mentornya Tun Abdul Razak.

Jawatan terakhirnya adalah sebagai Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times dan Berita Harian (2002-2003). Pada November 2003 beliau dipecat dari jawatan itu oleh Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana mengkritik pemerintahan feudal di Arab Saudi. Tempat beliau diganti oleh Datuk Ahmad Abd Talib danKalimullah Masheerul Hassan . Beliau dipecat ketika Abdullah Ahmad berada di Hong Kong.



Ketika Abdullah menerajui Institut Kajian Politik dan Ekonomi (Ikape) dan menganjurkan ceramah Tun Dr Mahathir Mohamad. Rakaman DVD kecaman Tun Dr Mahathir terhadap Abdullah Ahmad Badawi tersebar luas. Oleh kerana namanya sama dengan PM Abdullah Ahmad Badawi, maka beliau lebih gemar memanggil PM sebagai Badawi sahaja. Beliau berkhidmat dengan Abdullah Ahmad Badawi sebagai PM selama 21 hari sahaja. Sejak itu beliau banyak mengatur program menjemput Tun Dr Mahathir di pentas tertentu untuk memberi ceramah seperti pada 10 November 2005.

Pada 26 Julai 2006 beliau dan Ibrahim Ali menganjurkan syarahan Tun Dr Mahathir Mohamad di Kota Bharu, Kelantan. Dr Mahathir dijemput oleh Majlis Tindakan Rakyat Kelantan yang dipengerusikan oleh Dato Ibrahim Ali. Dikatakan Dato’ Nik Sapeia Nik Yusoff telah menyembur spray pemedih mata ke muka Tun Dr Mahathir diLapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan. Perebutan menjadi penganjur antara Ibrahim Ali dengan Nik Sapiea menjadi punca mata Tun Dr Mahathir disembur dengan gas pemedih mata.

Wartawan The Sun, Malaysia menganggap Abdullah Ahmad mempunyai 9 nyawa kerana peranan dan tulisannya masih diperlukan dari era Tun Razak, Dr Mahathir dan Abdullah Ahmad Badawi. Beliau merupakan seorang yang cukup berstail dalam penulisan profail politik Malaysia semasa. Tulisannya pernah menimbulkan kerumitan hubungan diplomatik Malaysia-Arab Saudi. Beliau juga dilihat sebagai pengampu Tun Dr Mahathir Mohamad malah dianggap sebagai "budak jahat" oleh musuhnya. Beliau dianggap 'pengimbang' pengaruh Tengku Razaleigh Hamzah di Malaysia khususnya di Kelantan. Perpecahan dan pergeseran pemimpin UMNOKelantan menyebabkan kerajaan PAS dapat didirikan di Kelantan pada tahun 1990.Alfatihah untuk DKL.