Khamis, Jun 09, 2016

ANAK CALON BN KESAL KEMATIAN BAPA DIPOLITIKKAN



Anak Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad kesal apabila kematian bapanya dijadikan modal politik parti pembangkang dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.


Anak kedua Wan Mohammad Khair-il Anuar, Wan Imar Izzat ber­kata, sebagai anak, sudah tentu kenyataan pembangkang itu mengguris perasaannya yang masih bersedih atas pemergian bapanya.

Katanya, dia terkilan kerana ketika dia dan ahli keluarganya mahu memulihkan semangat se­­lepas kehilangan orang tersa­yang, tanpa disangka kematian bapanya dipolitikkan.

“Kami berharap perkara sebegini tidak akan berlaku lagi. Sebelum hari penamaan calon lagi kami sekeluarga telah menerima pelbagai tohmahan dan cacian.

‘‘Diharap semua pihak dapat menghormati keluarga kami dan mendoakan kesejahteraan arwah papa,’’ katanya.

Wan Imar berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program MyVOC Jiwa Murni yang turut dihadiri adiknya, Wan Iskandar dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Muam’mar Ghadafi Jamal Jamaluddin di Sekolah Kebangsaan Lempor di sini semalam.


Dalam majlis anjuran MBM itu, seramai sepuluh penerima terdiri dalam kalangan asnaf menerima bantuan kotak barang makanan mengandungi beras, gula, minyak dan kurma.

Kelmarin, sebuah portal be­rita memetik bekas Menteri Be­sar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin dalam ceramahnya di sini sebagai berkata, dia tertanya-tanya mengapa daripada 222 kerusi Parlimen di negara ini, Allah memilih supaya PRK diadakan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Bila saya fikir-fikir dengan mendalam, di sinilah buminya semasa saya diberikan amanah untuk menjadi Menteri Besar Perak, daripada Mac 2008 hingga Februari 2009,” katanya dipetik berkata menerusi laporan sebu­ah portal berita.

Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir memberi­tahu, calon BN dalam PRK di sini, Datin Mastura Mohd. Yazid sedih apabila kematian suaminya dijadikan bahan kempen oleh parti pembangkang.

“Mastura begitu sedih kerana perkataan-perkataan yang dikeluarkan (oleh pembangkang) ter­hadap arwah suaminya,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ex­­co di sini hari ini.