Ahad, Mei 29, 2016

TUNTUTAN FILIPINA TIDAK RELEVAN KATA TAWFIQ

TAWAU, 28 Mei (Bernama) -- Tuntutan Filipina ke atas negeri Sabah adalah isu tidak wajar, tidak relevan dan tidak akan diterima oleh rakyat Sabah sampai bila-bila, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata rakyat Sabah sebulat suara sudah menentukan pilihan masa depan mereka sendiri melalui pungutan suara yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk bersama membentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 yang meliputi Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu.

"Rakyat Sabah telah membuat keputusan menerusi bancian yang dibuat melalui Suruhanjaya Cobbold di mana rakyat Sabah ketika itu telah membuat keputusan. Majoriti rakyat Sabah bersetuju untuk bergabung bersama Sarawak dan Tanah Melayu untuk membentuk satu negara bernama Malaysia.

"Keputusan itu adalah keputusan muktamad dan tidak boleh dipersoalkan, tidak boleh ditukar ganti dan keputusan itu akan terus dipertahankan rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sabah," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas kenyataan bakal presiden Filipina Rodrigo Duterte pada Rabu lalu yang mengatakan Filipina akan meneruskan tuntutannya ke atas Sabah.

Tawfiq yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Apas dan Ketua UMNO Bahagian Tawau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Tawau semasa menyambut ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi yang tiba untuk lawatan kerja dua hari ke Sabah.

Justeru, kata Tawfiq, fokus rakyat Sabah ialah untuk membangunkan Sabah dalam sebuah negara berdaulat yang dinamakan Malaysia.

Semalam, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dalam kenyataannya menegaskan Sabah tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf sebarang tuntutan Filipina dan mana-mana pihak terhadap negeri berkenaan dan Sabah memilih untuk kekal di dalam persekutuan Malaysia.

Sementara itu, Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Teo Chee Kang yang turut bersetuju dengan pandangan Tawfiq, berkata tuntutan Filipina ke atas Sabah bukanlah suatu isu kerana Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu telah melaksanakan hak mereka menentukan masa depan sendiri dengan membuat keputusan membentuk persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Katanya keputusan yang dibuat Sabah atau North Borneo ketika itu tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak kerana dari sudut undang-undang antarabangsa pun, Sabah mempunyai hak untuk menentukan masa depan mereka sendiri.

"Beberapa tahun lalu, semasa adanya pertikaian wilayah berkenaan dengan Pulau Ligitan dan Sipadan, kes ini telah di bawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dengan persetujuan antara Malaysia dan Indonesia. Pada waktu itu pihak Filipina telah membuat satu permohonan untuk mencelah ke atas kes itu dengan alasan mereka ada hak ke atas Sabah.

"Tetapi pihak ICJ dalam satu perintah, selepas mendengar hujahan daripada pihak Filipina, telah memutuskan bahawa pencelahan ini tidak dibenarkan atas sebab bahawa mereka (Filipina) tidak ada hak mengenai Sabah. Jadi bagi saya ini sudah cukup jelas bahawa ini (tuntutan Filipina ke atas Sabah) bukan satu isu lagi," katanya.

Sehubungan itu, Teo berkata Sabah dan rakyatnya tidak perlu bimbang dengan kenyataan Duterte kerana realiti politik pada hari ini ialah Sabah sememangya sebahagian daripada Malaysia yang diiktiraf oleh PBB.

-- BERNAMA