Isnin, Mei 30, 2016

DARI BUANGAN DAERAH KE JUTAWAN



KETIKA usianya 19 tahun, Muhammad Zukermi Edi didakwa dan dihukum buang daerah mengikut Ordinan Darurat atas kesalahan menyertai kongsi gelap. Bermula saat itu, daerah Rembau, Negeri Sembilan menjadi saksi kisah menarik remaja ini.


Sepanjang tempoh dua tahun, Muhammad Zukermi, kini 25 tahun, tidak dibenarkan meninggalkan daerah Rembau dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan dua kali dalam seminggu.

Tidak cukup dengan dihukum buang daerah, keadaan hidup Muhammad Zukermi bertambah perit apabila keluarga sendiri di Puchong, Selangor mengambil keputusan untuk tidak lagi berhubung dengannya. Di Rembau, kehidupan anak muda itu tidak tentu arah. Dia melakukan pelbagai kerja untuk menyara kehidupan.

Tidak ubah seperti gelandangan, setiap hari dia menumpang beg pakaiannya di sebuah kedai makan di pekan Rembau. Bila malam berlabuh, dia mencari kawasan seperti stesen bas atau surau untuk melelapkan mata.

Sepanjang dua tahun yang hitam itu juga, masyarakat sekeliling di pekan itu memandang serong terhadap Muhammad Zukermi kerana mereka mengetahui dia sedang menjalani hukuman buang daerah.

Namun, dia keraskan juga hati melalui hari-hari mendatang dengan penuh keinsafan dan harapan agar suatu hari nanti, kehidupannya berubah menjadi lebih baik.

Anak muda yang berasal dari Puchong itu kembali ke ibu negara sebaik sahaja tamat tempoh hukuman. Dia kemudian menjalani kehidupan di celah-celah kesibukan Kuala Lumpur dengan melakukan pelbagai kerja termasuk menjaga parkir kereta.

Tidak kekok berkongsi kehidupan hitamnya, Muhammad Zukermi berkata, Bukit Bintang bukan suatu kawasan yang asing buat dirinya. Dia pernah menghabiskan masa remajanya seawal usia 14 tahun di sekitar tempat itu dengan terlibat dalam aktiviti kurang sihat termasuk mencuri.

Namun kehidupan di ibu negara dirasakannya begitu sukar untuk ditempuh, lalu dia kembali ke Rembau. Satu hari ketika melepak di kafe siber, Muhammad Zukermi mendapat ilham iaitu menjual barang secara dalam talian (online). Dia mula menjual produk kesihatan dengan mengiklankannya di laman sosial.

Sebaik sahaja menerima tempahan, Muhammad Zukermi mendapatkan produk yang dipesan itu, dan mengeposnya kepada pelanggan. Hasilnya, dia menerima tidak kurang tiga pelanggan setiap hari bermula dari saat itu.

Produk pertama yang dijual ketika itu merupakan barangan kesihatan lelaki. Apabila mendapat sambutan, Muhammad Zukermi mula menjual sabun anti jerawat.

Allah itu Maha Pemurah. Apabila hambanya berusaha, maka akan dianugerahkan rezeki melimpah ruah. Itu jugalah yang terjadi kepada Muhammad Zukermi. Sabun anti jerawat yang dijualnya mendapat sambutan hangat. Justeru, dia mula menjual sabun itu atas jenamanya sendiri, MZ Secret Soap.

Setelah perniagaan dalam taliannya semakin berjaya, dia lantas teringat ibu bapanya. Dia kemudian pulang bertemu mereka dengan memandu kereta pertama yang dibelinya, Proton Perdana.

“Pada mulanya, ibu bapa saya langsung tidak percaya saya pulang dengan kereta sendiri. Malah mereka ingat saya dapat duit banyak kerana jual dadah. Tetapi apabila saya katakan saya jual sabun dan menunjukkan kisah saya di keratan akhbar, mereka lega dan percaya.

“Malah mereka datang melawat saya di pejabat. Syukur hubungan saya dan keluarga kini sudah baik. Malah mereka juga menjadi pendorong semangat saya untuk terus berjaya di bidang ini,” katanya ketika ditemui
 di pejabatnya di Seremban, Negeri Sembilan.

Siapa sangka anak muda yang dahulunya pernah digelar budak jahat kerana seringkali terlibat dengan masalah sosial kini berubah menjadi seorang usahawan online yang berjaya dengan pendapatan enam angka.

Falsafah hidupnya setelah berjaya adalah mudah. Setiap hari, dia akan cuba ingatkan kembali titik hitam dalam hidupnya supaya tidak tenggelam dalam kesenangan dan kejayaan yang dikecapi kini.

Ujarnya, perasaan syukur kepada Allah merupakan perkara utama perlu melekat dalam hati agar diri tidak mudah terleka dan alpa dengan nikmat dunia.

Muhammad Zukermi tidak malu untuk berkongsi kisah hidupnya terutama di laman sosial seperti Facebook kerana mahu menjadi inspirasi buat anak-anak muda yang mempunyai impian, namun masih tidak melihat ‘jalan’ atau peluang.

Masih terngiang-ngiang kata-kata yang pernah dihambur kepadanya suatu ketika dahulu. “Kau budak tak habis sekolah, kerja mencuri sahaja, jangan nak berangan sangatlah. Budak tak guna!”. Kata-kata itu, sebenarnya menjadi pendorong yang menguatkan lagi azam anak muda ini untuk terus berjaya tanpa menoleh ke belakang lagi.

Melalui syarikatnya, MZ Secret Sdn. Bhd., Muhammad Zukermi kini memasarkan produk keluaran sendiri melalui online. Selain sabun anti jerawat, syarikatnya kini mengembangkan lagi beberapa produk termasuk yang terbaharu, Azanis Scar Serum yang dikeluarkan bersama rakan kongsi yang juga isterinya, Nur Azianis Zulkifli.

Selain itu, niatnya untuk membantu para usahawan bisnes online juga diteruskan dengan melancarkan produk sistem data pangkalan pelanggan bagi memudahkan para peniaga menguruskan perniagaan dalam talian mereka dengan lebih tersusun dan teratur.

Katanya, produk sistem data pelanggan itu dijual serendah RM99 berbanding yang sedia ada di pasaran yang mencecah ribuan ringgit.