Rabu, Oktober 16, 2013

PERWAKILAN UMNO SUDAH MATANG

PUTRAJAYA: Bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata ahli Umno sudah matang dalam memilih pemimpin mereka. Katanya, pada pemilihan Umno pada tahun 2009, ramai yang tiada jawatan dalam kerajaan turut menang dalam pertandingan ahli majlis tertinggi. Pada tahun tersebut, seramai tujuh orang yang tiada jawatan dalam kerajaan yang menang ialah Datuk Azian Osman, Datuk Abdul Azeez Rahim, Datuk Bung Mokhtar, Datuk Zainal Abidin Osman, Datuk Dr Noraisah Mohamad, Datuk Dr Awang Adek dan Dr Puad sendiri. “Sebab itu saya yakin menang kerana perwakilan mahu pemimpin yang berani bercakap dalam mesyuarat, “katanya dalam wawancara khas dengan FMT di sebuah restoran di sini pagi ini. Beliau berkata demikian mengulas peluangnya untuk menang setelah kalah bertanding di kawasan parlimen Batu Pahat dan tidak ada sebarang jawatan dalam kerajaan. Dr Puad merupakan calon ahli majlis tertinggi Umno yang pertama daripada 27 orang calon yang sudah mengesahkan bertanding jawatan tersebut, yang sudi memberi wawancara khas kepada FMT. Katanya lagi, ini bermakna perwakilan memilih pemimpin bukan kerana jawatan tetapi kerana kewibawaan mereka. Katanya, pada tahun 2009, beliau juga tiada jawatan dalam kerajaan tetapi menjadi calon dari Johor yang menang selain dari Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad. Sebaliknya dua lagi calon dari Johor iaitu Menteri Besar Johor, Tan Sri Ghani Othman dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman kalah. Katanya lagi, apa guna jadi ahli majlis tertinggi kalau tidak berani bersuara. FMT difahamkan ada majlis tertinggi yang jarang bercakap dalam mesyuarat majlis tertinggi di mana sepanjang lima tahun menyandang jawatan tersebut, pemimpin itu bercakap sebanyak dua kali sahaja. “Umno perlu banyak lagi membuat perubahan. Maka perwakilan faham bahawa mereka kena beri ruang kepada mereka yang tiada jawatan dalam kerajaan untuk dipilih sebagai ahli majlis tertinggi supaya mereka dapat melahirkan idea dalam mesyuarat tersebut,” katanya lagi. Pada tahun 2009, beliau menang bertanding walaupun hanya menjadi ahli parlimen Batu Pahat dan belum jadi Timbalan Menteri Pelajaran. “Kebetulan pada tahun ini saya bertanding tanpa jawatan kerajaan juga malah kalah pula dalam pilihanraya,” katanya. Namun demikian beliau berharap trend perwakilan memilih pemimpin yang tiada jawatan dalam kerajaan pada tahun 2009 akan berterusan kali ini.