Isnin, Ogos 12, 2013

MB TIDAK DILANTIK SECARA AUTOMATIK MAJLIS TERTINGGI UMNO

Menteri Besar atau Ketua Menteri tidak dilantik secara automatik dalam ahli majlis tertinggi Umno, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan. Katanya, mereka kena bertanding jika mahu bersuara dalam majlis tertinggi Umno. “Tidak betul fakta itu. Saya sekarang bukannya ahli majlis tertinggi Umno. Cuma sebagai turut hadir sahaja,” kata beliau mengulas kenyataan ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dalam FMT yang mengatakan semua Menteri Besar tak perlu bertanding jawatan tersebut kerana mereka akan dilantik secara automatik. Menurut Saifudin, mereka tak perlu bertanding kerana selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri mereka akan dilantik dalam majlis tertinggi. Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan berharap ahli Umno tidak keliru dengan kenyataan tersebut kerana Menteri Besar atau Ketua Menteri tidak dilantik secara automatik sebagai ahli majlis tertinggi Umno. Katanya, sebagai turut hadir, beliau tidak boleh bercakap melainkan dengan izin presiden dan tidak boleh mengundi. “Saya dijemput sebagai turut hadir sahaja,” katanya lagi dan enggan menjawab soalan sama ada beliau akan turut bertanding jawatan ahli majlis tertinggi Umno pada 5 Oktober ini. Selain daripada Mohamad Hassan, empat orang Menteri Besar lain yang turut hadir dalam mesyuarat majlis tertinggi Umno ialah Datuk Seri Ahmad Said (Terengganu), Datuk Khalid Nordin (Johor), Datuk Mukriz Mahathir (Kedah) dan Azlan Man (Perlis). (dipetik dari freemalaysiatoday.com)