Khamis, Mei 02, 2013

PENGUNDI SUDAH BOSAN DENGAN BN DAN PAS

Calon tertua di Terengganu, Maimun Yusuf, 94 tahun, yang bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Kuala Terengganu tetap giat berkempen walaupun dengan hanya berbasikal dan berjalan kaki untuk meraih undi. Usia tua bukan halangan untuk beliau melakukan semua itu dan masih aktif berkempen dari rumah ke rumah secara bersendirian terutama di kalangan kenalan rapat. Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mun berkata dia lebih selesa berkempen di kalangan kenalannya sahaja ia lebih menyenangkan dan dapat menarik perhatian untuk mengundinya pada PRU nanti. “Tok berjalan atau menaiki basikal untuk berkempen. Tok berkempen pun sorang-sorang. Tok tidak pernah menyusahkan orang lain. Semuanya Tok lakukan sendiri dengan bantuan mereka yang ikhlas menolong Tok. Tok masih kuat untuk berjalan, kalau rasa sakit-sakit badan, Tok makan majun. “Biarlah.. Tok lebih selesa berkempen dengan menaiki basikal begini,” katanya yang kini menghentikan seketika aktiviti menjual kain bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada proses berkempen,” katanya ketika ditemui Bernama di sini. Tok Mun menjelaskan keputusan bertanding untuk kali kedua ini bagi menunaikan amanah orang lama.Katanya, pengundi sudah bosan dengan gelagat pemimpin BN dan pemimpin PAS, maka mereka hendaklah pilih calon Bebas seperti beliau. Sementara itu beliau meluahkan perasaan sedih apabila markas kempen yang ditubuhkan di Jalan Panji Aka menjadi mangsa khianat apabila poster yang dipasang dirosakkan pihak yang tidak bertanggungjawab. Namun beliau lebih selesa berdiam diri dan melaporkan perkara itu kepada pihak polis dan kini hanya mempunyai satu markas di Kampung Chabang Tiga. Warga emas yang pernah menggemparkan negara pada PRU12 selepas menjadi calon bebas Parlimen Kuala Terengganu sekali lagi memilih lambang 'kunci' pada PRU kali ini. “Biasanya, jumlah bajet yang Tok belanja Tok akan tahu setelah selesai PRU, tahun 2008 hampir RM15,000 duit Tok belanjakan dan tahun ini mungkin hampir RM30,000,” katanya. Pada PRU 2008, Tok Mun hanya mendapat 685 undi dan hilang wang pertaruhan. — Bernama