Rabu, April 24, 2013

PM KATA KENAIKAN ROYALTI MINYAK TAK BERI MANFAAT KEPADA RAKYAT SABAH

Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak pembangkang yang mahu menaikkan royalti minyak di Sabah sehingga 20 peratus kerana tindakan itu tidak akan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini dan negara. Perdana Menteri sebaliknya menegaskan, kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai formula lebih baik dalam memastikan Sabah terus mendapat faedah yang besar dalam kemajuan industri minyak dan gas. Antaranya, beliau berkata, kerajaan telah mula membangunkan kawasan-kawasan telaga minyak marginal yang mempunyai rizab minyak rendah di negeri bagi meningkatkan hasil industri tersebut. "Dengan teknologi dan teknik baharu serta dengan insentif yang disediakan kerajaan, kawasan-kawasan marginal ini boleh kita hasilkan dan minyak itu boleh kita keluarkan seterusnya royalti minyak akan kita berikan kepada kerajaan negeri," katanya. Beliau berucap dalam majlis Yayasan Sabah Bersama Rakyat di Padang Pekan Kuala Penyu di sini hari ini. Jelas Najib, sekiranya royalti minyak dinaikkan sehingga 20 peratus seperti dilaungkan pembangkang, tindakan itu akan memberi kesan kepada perancangan lain seperti kerajaan tidak mempunyai insentif untuk membangunkan kawasan marginal. "Apa yang berlaku seperti dalam peribahasa iaitu angsa yang keluarkan telur emas tetapi angsa itu kita bunuh. Sebaliknya di bawah perjanjian kita hari ini, angsa kita ini hidup dan akan mengeluarkan lebih banyak lagi telur emas yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah," katanya. Najib berkata, rakyat tidak perlu gusar mengenai perjanjian royalti itu.