Khamis, April 11, 2013

BN CALONKAN IBRAHIM ALI DI PASIR MAS?

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali akan mempertahankan kerusi Parlimen itu yang dimenanginya pada pilihan raya umum ke-12 (PRU-12). "Atas tiket apa saya akan bertanding itu tunggulah hari penamaan calon atau sebelum hari itu. Saya tidak mahu buat sebarang spekulasi, tunggulah saya akan umumkan," katanya ketika membuat pengumuman itu pada sidang akhbar di Kota Bharu. Katanya, sekiranya beliau dipilih bertanding atas tiket BN, sudah tentu ia merupakan satu penghormatan besar buat dirinya yang mahu terus berbakti kepada pengundi Pasir Mas. Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini mengumumkan di Putrajaya bahawa hari pengundian bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) ditetapkan pada 5 Mei manakala tarikh penamaan calon ialah 20 April. Ia susulan pembubaran Dewan Rakyat 3 April lepas. Ibrahim berkata beliau telah membuat persiapan untuk terus menabur bakti kepada warga Pasir Mas yang menurutnya mahu beliau terus mewakili mereka. Sehubungan itu, beliau akan 'bercuti' daripada menjalankan tanggungjawab sebagai Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia mulai hari ini hingga tamat PRU-13, dan tugas itu akan dipangku timbalannya, Datuk Abdul Rahman Bakar. Sebagai rekod, pada pilihan raya umum lalu, Ibrahim yang bertanding atas tiket PAS menang kerusi Parlimen Pasir Mas mengalahkan calon BN, Ahmad Rosdi Mahamad dengan majoriti 8,991 undi.