Ahad, Oktober 07, 2012

SOROS SEKAT PENGARUH CHINA

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin mendakwa jutawan George Soros mendanai kumpulan antikerajaan bagi menyekat pengaruh China sebagai kuasa ekonomi dunia. "Suaram terima dana luar untuk operasi tentang kerajaan dan hasut rakyat. "Soros dikenal pasti (dan) jatuhkan kerajaan di beberapa negara seperti Mesir dan Iraq dan hasut rakyat di sana untuk bangkit menentang kerajaan. "(Dia) guna cara sama di Malaysia dan pilih Malaysia sebab strategik untuk halang China kembangkan ekonomi di abad ke-21. "Ini strategi Amerika Syarikat," katanya sewaktu perbahasan Bajet 2013 di Parlimen tiga hari lalu. Bangkit menyokong beliau Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahalan. Menurutnya, kuasa-kuasa luar yang menghulurkan bantuan kepada negara ini akan kembali menuntut budi mereka dibalas bagi memenuhi agenda mereka. "Ada masa sumber ini minta 'dividen' - (dan tanya) dulu saya tolong kamu, apa boleh kamu buat untuk saya? "Kita tak musuhi semua pihak, tetapi (tindakan) mempengaruhi rakyat dan menggambarkan kerajaan sangat zalim, membahayakan keselamatan kita," katanya. Manakala ahli Parlimen Jempol, Datuk Lilah Yasin pula mengaitkan kuasa-kuasa luar itu dengan kedudukan naik turun saham di Malaysia. Sementara itu, anggota Parlimen BN turut mengambil kesempatan menghentam portal berita bebas Malaysiakini. "Kita tidak minta semua blog dan media sokong kerajaan. Tetapi jangan hari-hari memfitnah, (seolah-olah) tiada kerja lain. "Gunakan apa-apa yang ada. Malaysiakini harus dipanggil (ke muka pengadilan), dan undang-undang ada (untuk tujuan ini)," kata Bung Mokhtar.