Sabtu, Oktober 06, 2012
KJ CADANG KERAJAAN GUBAL SISTEM SUBSIDI BARU
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata sistem subsidi sedia ada perlu dihentikan kerana mereka yang tidak sepatutnya turut mendapat manfaat daripada usaha kerajaan membantu rakyat tidak berkemampuan.
Beliau menyarankan kerajaan menjalankan kajian untuk menambah baik sistem subsidi dan memastikan hanya yang benar-benar layak menerima keistimewaan itu.
Jika sistem yang lebih efisien dilaksana, peruntukan subsidi yang sekarang dinikmati golongan tidak sepatutnya boleh dimanfaat untuk pembangunan negara, katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia (ICAPP), hari ini.
Beliau juga berkata kajian perlu agar rakyat "tidak terkejut" jika pemberian subsidi diberhentikan secara tiba-tiba.
Pada 20 Januari lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata kerajaan dijangka menanggung bebanan subsidi berjumlah RM18.92 bilion bagi barang-barang kawalan bersubsidi pada tahun ini.
Ditanya mekanisma yang boleh diguna untuk tujuan itu, Khairy berkata kerajaan boleh mengunakan maklumat golongan yang kurang berkemampuan melalui pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
"Kita akan guna maklumat hasil pemberian BR1M bagi memastikan sistem yang akan mengantikan sistem sekarang akan memanfaatkan mereka yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sahaja dan ia untuk peringkat permulaan.
"Melalui pemberian subsidi yang sistematik saya yakin jumlah wang untuk subsidi mampu dikurangkan dan boleh digunakan untuk membuat program mesra rakyat seperti pembangunan luar bandar," katanya.
Sementara itu, Khairy memaklumkan Majlis Jawatankuasa IPACC telah bersetuju untuk menubuhkan Sayap Orang Muda yang akan berpangkalan di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.
"Ini satu peluang untuk kita memainkan peranan di peringkat antarabangsa dan kita bercadang menjemput pemimpin-pemimpin muda dari seluruh Asia, tidak sahaja kepada pemimpin parti yang memerintah tetapi juga parti
pembangkang termasuklah pemimpin muda parti pembangkang di negara kita untuk terlibat sama dalam Sekretariat Sayap Orang Muda ICAPP," katanya.
ICAPP ialah forum melibatkan parti pemerintah, pembangkang dan bebas dari rantau Asia-Oceania dan ditubuhkan di Manila, Filipina pada September 2000.
Persidangan ICAPP di sini itu dihadiri 26 delegasi dari 11 negara dan 11 parti politik. Delegasi Malaysia diketuai anggota Majlis Tertinggi Umno dan bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim.