Selasa, September 18, 2012
KITA MASIH AGUNGKAN PENJAJAH
Semua mata pasti tertumpu kepada kehadiran pasangan diraja Britain, Putera William dan pasangan Kate Middleton yang telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 12.50 tengahari baru-baru ini di KLIA. Pasangan ini dalam rangka jelajah sembilan hari ke Asia Tenggara dan Malaysia menjadi destinasi kedua selepas Singapura. Mereka berdua menjadi wakil kepada nenda William, Ratu Elizabeth yang bakal menyambut Jubli Intan pemerintahannya yang ke-60 sebagai Ratu.
Duke dan Duchess of Cambridge ini akan menghabiskan masa di bekas negara jajahan British ini selama 4 hari.Selain Kuala Lumpur, pasangan ini juga akan berlepas ke Sabah untuk melawat negeri di bawah bayu itu. Sebaik tiba, kedua mereka telah dibawa untuk bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan isteri, di Seri Perdana untuk makan tengahari bersama. Selepas itu mereka dijadual untuk melawat hospital yang menempatkan kanak-kanak di sekitar Kuala Lumpur dimana Kate akan menyampaikan ucapannya.
Pada sebelah malamnya mereka akan dirai dengan jamuan makan malam Diraja bersama Yang Dipertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara sebelum berlepas ke Sabah untuk melihat pusat pemuliharaan hutan di Lembah Danum yang popular dengan orang utan pada keesokan harinya.
Dilaporkan kehadiran mereka ini telah mengundang kebanjiran lebih kurang 100 wartawan luar seperti United Kingdom, America, Australia, New Zealand, Jepun, Jerman, China, Perancis dan Indonesia yang berada di Malaysia untuk membuat liputan. Mereka dijadualkan akan berlepas ke Kepulauan Solomon pada Ahad untuk meneruskan siri jelajah mereka.
Ulasan saya, menjelang sambutan Hari Malaysia yang bermakna kita bebas dari penjajahan Inggeris, kita masih mengagung-agung
kan penjajah dengan memberi liputan besar-besaran kepada cucu Queen Elizabeth di akhbar dan tv. Adakah Yang Dipertuan Agong kita melawat England media dan tv mereka beri liputan besar-besaran kepada Raja kita?
Nampaknya kita masih lagi dijajah pemikiran kita walaupun kita sudah 55 tahun merdeka. Alangkah malunya kita.