Khamis, September 20, 2012

JANGAN TUKAR KERAJAAN

Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan bahawa negara akan berdepan pelbagai masalah jika rakyat mengambil risiko dengan bereksperimen untuk menukar kerajaan pada pilihan raya umum akan datang. Bekas Perdana Menteri berkata, ini kerana pentadbiran pembangkang di beberapa buah negeri telah menampakkan pelbagai masalah, selain tiada kesepakatan di kalangan mereka, khususnya melibatkan pelaksanaan hukum hudud. Jelasnya, hal itu berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang menampakkan keseimbangan dalam pelbagai perkara. "Dahulu siapa yang nak lelong Putrajaya? Tetapi kini merekalah (pembangkang) berebut nak kuasai Putrajaya. Hubungan pembangkang bukanlah satu bentuk kerjasama. Mereka pun bertelagah dengan isu hudud. Karpal Singh (Pengerusi DAP) dan Nik Abdul Aziz Nik Mat (Musyidul Am Pas) saling bertelagah. "Pastinya, suasana Parlimen nanti akan penuh dengan perbalahan jika pembangkang mengambil alih negara ini. Ini sangat tidak baik untuk masa depan," katanya ketika menyampaikan ucaptama Forum Ketua Pegawai Eksekutif 2012 anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana di sini semalam
. Beliau berkata, justeru BN perlu menang pilihan raya umum akan datang dengan majoriti dua per tiga supaya fokus dapat diberikan kepada pelan pembangunan negara. Menurutnya, ini kerana kerajaan yang ada ketika ini tidak begitu kuat dan lebih memfokuskan kepada kesinambungan hidup parti untuk terus meraih sokongan rakyat. Jelasnya, ia menyebabkan perhatian kepada meningkatkan ekonomi, pembangunan industri dan perdagangan berkurangan. "BN masih boleh menang dan mentadbir negara tetapi ia tidak begitu kuat. Ini kerana pembangkang sudah menanam rasa benci rakyat terhadap kerajaan. BN boleh menang jika rasa benci itu dapat diatasi," jelasnya. Mengenai janji-janji pembangkang untuk meraih undi rakyat, tegasnya, ia bukanlah sesuatu yang mudah dilaksanakan. "Janji hapuskan cukai dan tol akhirnya akan membebankan negara. Kerajaan perlu kutip cukai sebagai sumber pendapatan. Jika kerajaan tiada sumber pendapatan, ia tidak mampu berfungsi atau menaikkan gaji perkhidmatan awam yang akhirnya mengundang kepada gejala rasuah," tambahnya. Sementara itu, dalam sesi dialog, beliau yang diaju soalan tentang tarikh pilihan raya secara berseloroh berkata, ia mungkin diadakan pada November ini.