Selasa, Julai 10, 2012
PEMBANGKANG SILAP CATUR
Pembangkang disifatkan sebagai tersilap percaturan sekiranya bercita-cita menawan Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat di negeri ini sudah kenal dengan sikap sebenar parti berkenaan yang lebih dikenali sebagai ‘saudagar janji’.
Katanya, pembangkang gagal melunaskan janji pada pilihan raya lalu, sebaliknya terus menabur janji baru sebagaimana yang terjadi di Perak dan Selangor.
"Kita dapat tahu pemimpin parti pembangkang ini kerap turun ke Johor setiap minggu untuk ambil alih negeri ini, tetapi mereka silap percaturan sekiranya mahu menjadikan Johor seperti Perak dan Selangor.
"Rakyat keseluruhannya sudah mula sedar dengan sikap sebenar ‘saudagar janji’ ini. Mereka hanya tahu menabur janji. Oleh itu, saya yakin Johor akan terus menjadi kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN)," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pasir Gudang di UniKL MITEC di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, Johor dilihat cukup kuat untuk mempertahankan negeri ini daripada dirampas pembangkang di bawah kepimpinan sedia ada serta jalinan di peringkat bahagian hingga ke akar umbi.
“Apa berlaku di akar umbi, sokongan terhadap Umno dan BN kukuh. Biarpun diakui ada masalah sedikit, tapi sikap orang Johor berbeza. Mereka mungkin ada berbalah tetapi menjelang pilihan raya mereka akan bersatu.
“Apa berlaku di Selangor dan Perak amat dikesalkan rakyat kerana program dirancang tidak dapat dilaksanakan. Saya harap Johor dengan kepimpinan yang ada terus kukuh kekalkan kerusi dan merebut kerusi yang kecundang pada PRU12,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau turut menggesa pemimpin dan ahli Umno agar bersatu kerana ia adalah asas kekuatan parti ini dalam menghadapi sebarang cabaran.
Ahmad Zahid turut meminta jentera parti di semua peringkat supaya sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya.
"Pada pilihan raya lalu, pembangkang berjaya menawan beberapa negeri dan mereka mahu ia berulang pada pilihan raya akan datang. Justeru, kita harus melipatgandakan usaha bagi memastikan kemenangan di tangan BN," katanya.