Khamis, April 26, 2012
PENGUNDI AIR PUTIH MAHU ANAK TEMPATAN
Selepas Haji Harun Hassan digugurkan sebagai calon BN di kawasan DUN Air Putih, Kemaman pada pilihanraya umum 1999, sudah 13 tahun Air Putih mempunyai wakil rakyat yang bukan anak tempatan. Anak tempatan yang dimaksudkan ialah calon yang berasal dari kawasan Air Putih sendiri.
Haji Harun merupakan anak tempatan pertama menjadi wakil rakyat Air Putih dari tahun 1986 hingga 1999. Beliau yang berasal dari Binjai menjadi ADUN Air Putih selama tiga penggal, selama 13 tahun. Beliau adalah Ketua Biro Utusan Melayu di Kuantan. Pada tahun 1982, beliau dilantik sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar (Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad). Empat tahun kemudian beliau dipilih sebagai calon BN bagi kawasan Air Putih. Sebelum itu beliau pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) selama satu tahun.
Sudah 13 tahun Air Putih diwakili bukan wakil rakyat anak tempatan. Pada pilihanraya umum 1999, Dr Ramli Taib dari Kijal dicalonkan di kawasan tersebut tetapi tewas kepada calon PAS, Ismail Harun. Pada pilihanraya umum 2004, Wan Ahmad Nizam Wan Hamid dari Chukai dicalonkan di situ dan menang sepenggal. Pada pilihanraya umum 2008, Wan Ahmad Nizam digugurkan sebagai calon dan digantikan oleh Wan Hakim Tan Sri Wan Mokhtar juga dari Chukai.
Menjelang pilihanraya umum ini, Wan Hakim dikatakan akan diletakkan di Chukai menggantikan Datuk Mohamad Awang Tera. DUN Chukai merupakan kawasan lama ayahnya, Wan Mokhtar.Jika Wan Hakim dicalonkan di DUN Chukai, maka pucuk pimpinan patut meletakkan anak Air Putih sebagai calon BN kerana orang tempatan sahaja yang boleh memahami masalah orang Air Putih.
Walaupun UMNO Bahagian mencalonkan tiga nama, Rosli Ahmad,Wan Ahmad Nizam dan Wan Hakim tetapi tidak semestinya Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO memilih tiga nama ini sebagai calon kerana mereka dipilih oleh 30 orang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian dalam mesyuarat dan bukannya dipilih oleh rakyat.
Anak-anak tempatan yang patut dipertimbangkan sebagai calon dari kalangan ahli jawatankuasa bahagian ialah bekas wakil rakyat Harun Hassan, Tuan Kecil Tuan Tengah, Kamal Harun, Wan Nordin, Bahari manakala ahli jawatankuasa pemuda bahagian pula ialah Zulkipli Sulong.
Zulkipli Sulong paling menonjol lulusan dari universiti di Jordan, berusia 41 tahun seorang guru agama di Sekolah Menengah Seri Bandi. Orang Air Putih patut bersatu mendesak pucuk pimpinan meletakkan Zulkipli Sulong seperti mana orang Kijal mahukan orang Kijal sebagai calon BN pada tahun 1986.
Pada tahun 1986 Wan Mokhtar mahu meletakkan Datuk Ismail Said orang Chukai sebagai calon BN Kijal tetapi empat orang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian dari DUN Kijal iaitu Haji Khalid Karim, Haji Musa, Che Wan Wahab Che Wan Idris dan Cikgu Mohamad Mat Amin mendesak Wan Mokhtar memilih salah seorang dari mereka, jika tidak jentera DUN Kijal lumpuh. Maka Wan Mokhtar memilih Cikgu Mohamad yang langsung tidak bercakap dalam pertemuan dengan Wan Mokhtar manakala tiga lagi banyak bercakap.
Sudah sampai masanya orang Air Putih bersatu meletakkan calon mereka. Jika mahu anak muda yang ada kelulusan, yang baik moralnya, bagi Ustaz Zulkipli Sulong anak Seberang Tayor paling layak ditonjolkan sebagai calon BN Air Putih. Terpulang kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.