Selasa, Januari 03, 2012

ZAMBRY LEBIH SUKA BN KALAH DIPERAK


Barisan Nasional (BN) Perak tidak menolak kemungkinan memilih semula calon-calon yang tewas pada pilihan raya umum lepas untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata BN negeri telah mengumpul pelbagai maklumat dan maklum balas daripada orang ramai mengenai calon-calon yang tewas dalam pilihan raya umum sebelum ini.

"Mungkin calon-calon ini kalah tipis atau menang tipis dalam pilihan raya umum sebelum ini...tetapi kita harus tahu apakah sebab-sebab yang menyebabkan kekalahan itu.

"Bagi saya ada di antara mereka sebenarnya boleh menang tetapi disebabkan tsunami politik yang berlaku menyebabkan mereka tewas," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Laluan Alternatif Bercham ke Lebuhraya Utara-Selatan di sini, hari ini.

Katanya hasil maklumat yang dikumpulkan mendapati terdapat permintaan daripada orang ramai supaya calon yang tewas dicalonkan semula bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Zambry berkata maklum balas itu juga mendapati orang ramai turut melahirkan rasa kesal kerana tidak mengundi calon-calon yang tewas itu pada pilihan raya umum lepas.

"Apabila saya turun padang, saya tidak hanya berjumpa dengan anggota Umno dan BN tetapi turut bertemu dengan peniaga dan masyarakat lain. Pelbagai maklum balas yang diterima mengenai perkara ini," katanya.

Katanya beliau mendapati terdapat calon-calon yang tewas terus menjalankan tugas membantu masyarakat dan perkara itu memberi kelebihan kepada mereka untuk dicalonkan semula.

Ulasan saya, kalau Zamby masih letak calon yang kalah sebagai calon BN nampak sangat dia tidak mahu BN menang di Perak. Adakah pemuda tidak boleh ditonjolkan sebagai calon? Tiada orang baru ke yang layak jadi calon sehingga perlu meletak orang yang kalah?

Terbuka sikitlah Zambry. Jangan terlalu percaya kepada ketua bahagian yang mahu mengekalkan kuasa. Berilah peluang kepada orang baru. Kenapa DAP berjaya? Kerana DAP lebih banyak mengemukakan muka baru sebagai calon DAP. Oleh itu tak perlulah Zambry meletakkan calon kitar semula.