Rabu, Jun 15, 2011

PANDIKAR AMIN SERAH KEPADA PUCUK PIMPINAN


Semalam saya menemui Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Saya kenali beliau sejak duduk di Sabah pada tahun 1989 lagi. Ketika itu beliau adalah Senator dari PBS dan akhirnya meninggalkan PBS dan menubuhkan Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR) bersama Datuk Mark Koding.

Sudah tiga tahun saya tidak menemui beliau. Ketika beliau mula-mula dilantik sebagai Speaker saya yang bekerja dengan akhbar Watan ketika itu sempat menemuramahnya. Senalam saya berkunjung sebagai kawan lama.

Ketika ditanya, beliau berkata terpulang kepada pucuk pimpinan untuk menentukan kedudukannya.

"Jika BN suruh saya bertanding, saya bertanding dalam pilihanraya umum akan datang," kata beliau yang terpaksa bersara dari politik buat seketika setelah dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat. Tan Sri Pandikar yang ketika itu Ketua UMNO Bahagian Marudu meletakkan jawatan kerana mahu beri tumpuan sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Katanya, sebagai Speaker kita jangan aktif dalam politik nanti ahli parlimen pembangkang kata kita berat sebelah.

Sejak beliau meletakkan jawatan dalam UMNO, beliau dihormati oleh kawan dan lawan sepanjang mengendalikan persidangan Dewan Rakyat.

Tan Sri Pandikar Amin berkata sebagai ahli UMNO, beliau patuu kepada arahan parti.

"kalau parti tidak suruh saya bertanding, saya tak bertanding tetapi saya akan bantu calon BN menangi pilihanraya," katanya lagi.

Beliau yang pernah menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri pernah memukau Dewan Rakyat kerana berjaya mematahkan hujah ahli parlimen pembangkang. UMNO Sabah kini memilihi dua orang menteri tetapi mereka (Datuk Seri Shafie Afdal dan Datuk Anipah Aman) tidak dapat menandingi kehebatan Pandikar ketika menjawab soalan pembangkang di Dewan Rakyat.

Justru itu jika beliau aktif semula dalam parti, ia bukanlah sesuatu yang mustahil kerana prestasi beliau tidak kira di mana tetap bersinar baik sebagai menteri di pusat, menteri di negeri atau Speaker Dewan Rakyat.