Sabtu, November 06, 2010

LANTIK KU LI PENGERUSI PERHUBUNGAN UMNO KELANTAN


Kemenangan di Galas dikatakan kerana pengaruh Ku Li. Ini tidak menghairankan kerana Gua Musang kubu kuat Ku Li.Galas kalah pada tahun 2008 kerana pengundi tolak calon BN, Saufi Deraman.

Kebetulan Ku Li dilantik pengarah pilihanraya kecil. Inilah kali pertama ketua UMNO bahagian dilantik sebagai pengarah pilihanraya kecil. Katakan selepas ini ada lagi pilihanraya kecil di Kelantan, kekalkanlah Ku Li sebagai pengarah pilihanraya kecil. Kalau BN menang juga, barulah ia kerana pengaruh Ku Li.

Untuk menawan kembali Kelantan, BN perlu lantik Ku Li sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan. Pada tahun 1998 Tun Dr Mahathir Mohamad telah melantik semula Ku Li sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO kelantan tetapi BN kalah teruk pada pilihanraya umum 1999 setelah orang Melayu marah kepada Dr Mahathir memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim dari UMNO. Akibat dari pemecatan itu, PAS berjaya pertahankan Kelantan dan menawan Terengganu.

PAS mendakwa, antara sebab kekalahannya dalam pilihan raya kecil DUN Galas ialah masalah akses kepada masyarakat Orang Asli.

Ia menjadi penyebab merosotnya sehingga 13 peratus di enam kawasan Orang Asli tersebut.

Di kawasan majoriti Melayu, PAS kehilangan sehingga 8 peratus, lebih tinggi daripada yang dijangka sebelumnya.

Pengundi Melayu mewakili sebanyak 60 peratus daripada jumlah penduduk di situ.

Oleh sebab itu, kehilangan undi sebanyak 8 peratus memberi makna yang besar kepada PAS, menurut penasihat jenteranya Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

PAS hanya dapat mengekalkan pengaruhnya di Sungai Terah, itupun dengan majoriti yang rendah.

Di kawasan pengundi Cina, sokongan masyarakat berkenaan juga nampaknya berkurangan berbanding 52 peratus pada Mac 2008.

Faktor kemenangan BN, diakui sendiri oleh pengarah jenteranya Tengku Razaleigh Hamzah, antaranya adalah hasil pendekatan baru yang dianjurkannya dalam kempen kali ini.

Tiada rapat umum yang besar dijalankan BN, dan ia juga lebih aktif menggunakan media baru, termasuk salah satu media rasminya Umno Online.

Kemenangan itu akan meningkatkan moral jentera BN dalam memenangi semula negeri Kelantan.

Dalam menghadapi gelombang ini, PAS perlu bersiap sedia.

Barisan pemimpinnya, khususnya di Kelantan perlu dipersiapkan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru ini.

PAS perlu meneliti faktor-faktor yang memberi kesan kepada pengundi luar dan pengundi muda ini.

Apakah isu-isu melibatkan pemimpinnya sendiri yang menjejaskan sokongan golongan ini?