Khamis, Oktober 28, 2010

BATU SAPI SAILANG BAGI SAPP


Lagenda Batu Sapi, sejenis formasi batu yang kelihatan seperti seekor sapi berkaki tiga di muara sungai dekat Sandakan, menjadi satu tarikan pelancongan di Sandakan.

Dalam satu perkembangan dilihat sebagai menguntungkan, ramai orang termasuk pemimpin dari seluruh negara, dijangka membanjiri kawasan indah ini sekurang-kurangnya untuk tempoh sembilan hari akan datang.

Ianya bukan semata-mata untuk menikmati dan bercakap mengenai rahsia Batu Sapi yang berkaki tiga tetapi akan menumpukan perhatian kepada pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi melibatkan calon BN, SAPP dan PKR.

Beberapa penganalisis politik menggelar pilihan raya ini sebagai 'sailang' atau pertempuran habis-habisan terutama bagi SAPP yang menaruh harapan menggunung agar presidennya Datuk Yong Teck Lee yang juga calon parti itu akan berjaya merampas kerusi itu daripada BN.

Mengakui pentingnya pengundi muda dalam menentukan kemenangan di Batu Sapi, Ketua Pemuda Umno Sabah Azman Ruslan, berkata berdasarkan arah aliran politik semasa, generasi muda menumpukan perhatian kepada pilihan raya kecil, terutama selepas gelombang tsunami politik tanah air pada pilihan raya umum 2008.

"Kebanyakan mereka tidak sabar untuk mengundi pada pilihan raya kecil ini," katanya kepada Bernama.

Sebaik sahaja selesaid proses penamaan calon semalam, sesi kempen digunakan sepenuhnya oleh parti-parti yang bertanding untuk menarik pengundi.

Azman berkata adalah penting untuk rakyat terutama generasi muda untuk menyokong perjuangan BN melalui gagasan 1Malaysia yang menggunakan pendekatan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' kerana akan membawa manfaat kepada semua rakyat Malaysia.

"Dalam hubungan ini saya percaya pengundi muda dalam pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi tidak mudah terpengaruh dengan janji kosong pembangkang.

"Pembangkang boleh bercakap macam-macam termasuk janji untuk mendapatkan kuasa politik autonomi tetapi akhirnya rakyat akan dapat melihat logiknya.

"Jika anda melihat di sekitar bandar Sandakan hari ini, anda akan perasan terdapat banyak kemudahan untuk pendidikan dan institusi akademik telah wujud, tidak termasuk rancangan yang sedang dilaksanakan untuk menubuhkan pusat Pelajaran Sandakan yang baru.

"Kemudahan pendidikan ini adalah bukti kukuh kerajaan BN serius untuk memperkayakan generasi muda melalui pembangunan sumber manusia," katanya.

Azman, yang berada di sini untuk mengetuai Pemuda BN berkempen untuk calon parti itu, Datin Linda Tsen Thau Lin, menggariskan beberapa faktor kenapa rakyat terutamanya golongan muda dalam kawasan itu harus menyokong BN.

Ini termasuk usaha ikhlas BN dalam menyediakan dan membabitkan golongan muda dalam pendidikan serta program sosial dan politik malah melibatkan mereka dalam perbincangan mengenai dasar, katanya.

"Kerajaan BN amat komited untuk membina generasi pemuda yang dinamik dan progresif pada abad ke-21," katanya.

Selain Tsen dan Yong, seorang lagi calon bagi kerusi itu ialah Ketua PKR Tuaran, Ansari Abdullah.

Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dari BN dalam kemalangan jalan raya pada 9 Okt lepas. Chong adalah suami Tsen.

Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi berdaftar. Pengundian ialah pada 4 November ini.