Rabu, Julai 14, 2010

BERKAT JAGA ANAK YATIM


Tidak ramai yang minat menjaga anak yatim seperti yang dilakukan oleh Datuk Dr.Tengku Mahmud Mansor, bekas ahli parlimen Setiu yang juga bekas Ketua UMNO bahagian Setiu. Sebut saja nama Tengku Mahmud, beliau tidak perlu diperkenalkan lagi.

Beliau adalah bekas Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu yang paling berpengaruh di zaman Tan Sri Wan Mokhtar memerintah Terengganu dari tahun 1974-1999.Selepas keluar dari Universiti Malaya pada tahun 1971, beliau mengajar di Sekolah Menengah Chukai, Kemaman. Kebetulan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said adalah bekas muridnya. Begitu juga bekas Setiausaha Politik Wan Mokhtar, Nazri Salleh dan bekas ahli parlimen Kuala Nerus, Azmi Abdul Rahman. Azmi turut bersekolah di SMC kerana ayahnya seorang guru agama mengajar di Kemaman ketika itu.

Sudah lama saya tidak temui beliau. kebetulan kami terjumpa di rumah MB di Kuala terengganu, Isnin lalui. Kebetulan beliau dan saya ada urusan dengan MB pada pagi Isnin itu. tengku Mahmud nampak masih sihat.

"Berapa umur Datuk sekarang?" tanya saya.
"70 tahun," ujar beliau.
"Datuk tak ada sebarang penyakit?" soal saya.
"Setakat ini alhamdulilah. Tak ada penyakit," ujar beliau lagi.
"Saya sudah empat bulan kena darah tinggi. Datuk nampak sihat molek mungkin berkat jaga anak yatim," kata saya.

Tengku Mahmud tersenyum. Nama Tengku Mahmud dengan anak yatim tidak boleh dipisahkan. beliau menubuhkan Perkaya (Pertubuhan Anak Yatim Terengganu) dan beliau juga mengasaskan Peyatim (Pertubuhan Gabungan Persatuan Anak Yatim Malaysia). Di bawah kepimpinan Tengku Mahmud, Perkaya dan Peyatim berkembang maju. Kini sudah ramai anak yatim yang berjaya dalam bidang profesional.

Malah Peyatim berbangga dengan Kolej Bestari di Setiu yang menawarkan kursus diploma dan ijazah. Katanya, beliau kini sedang berusaha memohon naiktaraf kolej Bestari kepada Kolej Universiti Bestari.

Beliau menjadi guru di Kemaman mulai tahun 1971. Di sinilah beliau mula mengenali Wan Mokhtar yang masih ahli parlimen ketika itu. Pada tahun 1974, beliau dipilih menjadi calon BN di DUN Setiu dan pada masa yang sama beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik Wan Mokhtar.

Pada tahun 1978, beliau dilantik sebagai Exco Kerajaan negeri. Di zaman Wan Mokhtar beliaulah Exco kanan. Apa kata beliau, didengar oleh Wan Mokhtar. Oleh kerana beliau terlalu rapat dengan Wan Mokhtar, maka beliau difitnah kononnya cuba menjatuhkan tokoh tertentu dalam politik Terengganu.

beliau meletakkan jawatan sebagai Exco dan menyambung pelajaran dalam bidang Ph.D di Universiti Malaya. Pada tahun 1986, beliau selaku Ketua UMNO Bahagian Setiu memberi laluan kepada Tan Sri Dr. Yusof Noor bertanding di parlimen Setiu. Dr. Yusof Noor meletakkan jawatan Senator dan selepas menang pilihanraya itu, beliau dikekalkan jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ketika itu Senator Dr. Yusof sudah jadi Timbalan Menteri. Maka satu kerusi parlimen yang selamat perlu diberi kepada beliau. Maka Dr. tengku Mahmud mengorbankan kerusi itu kepada Dr. Yusof. Pada tahun 1990, Dr. Yusof kembali bertanding di Besut dan Dr. Tengku Mahmud bertanding di parlimen Setiu buat kali pertama pada tahun 1990. Beliau dilantik Timbalan Menteri perusahaan Utama. Pada tahun 1995, beliau kekal bertanding di parlimen Setiu dan dilantik Timbalan Menteri Pertanian.

Tsunami 1999 turut menyapu bersih empat kerusi DUN di parlimen Setiu. Tengku Mahmud tewas di parlimen Setiu dan pada pemilihan UMNO pada tahun 2000, beliau memberi laluan kepada timbalannya, Datuk Mohd. Jidin Shafie mengetuai UMNO Bahagian Setiu.

Sudah 10 tahun beliau meninggalkan politik. Tetapi Dr. tengku Mahmud tetap seperti dahulu, mudah ditemui oleh rakyat jelata. Bagi beliau, beliau sudah lupakan politik kerana memberi tumpuan penuh kepada Perkaya dan Peyatim.