Ahad, Disember 06, 2009

DR NG NAFI BERGESER DENGAN SULAIMAN


Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen meminta media tidak membuat spekulasi kononnya terdapat pergeseran antara beliau dan timbalannya, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib sehingga Sulaiman menzahirkan hasratnya untuk meletakkan jawatan kepada Perdana Menteri.

"Itu (pergeseran) spekulasi. Adakah ia datang dari mulut dia (Sulaiman)? Tak ada. Apa pun itu spekulasi dan bukan dari mulut dia," kata Ng ketika ditanya pemberita sama ada benar terdapat pergeseran antara beliau dengan timbalannya itu.

"Spekulasi ni macam-macam jenis, kata saya dengan Azalina (Datuk Seri Azalina Othman Said, bekas Menteri Pelancongan). Ini tidak adil. Selagi tidak keluar dari mulut dia (Sulaiman), jangan buat spekulasi," katanya pada sidang media selepas pelancaran Pesta Tarian Cuti-Cuti 1Malaysia di Dataran Merdeka, di sini pada Ahad.

Ng ketika diminta mengulas hasrat timbalannya itu berkata keputusan yang dibuat Sulaiman adalah kehendak peribadinya.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah memaklumkan kepada saya bahawa timbalan menteri ada memberi surat kepada beliau dan beliau (Najib) belum lagi membuat keputusan. Apa maksud surat itu, kita tak tahu lah. Ini memang personal. Jadi saya haraplah media jangan buat spekulasi," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata bahawa selama tujuh bulan bekerjasama di kementerian, hubungan beliau dan Sulaiman adalah baik.

Ketika ditanya sama ada Sulaiman ada memaklumkan mengenai hasratnya itu kepada beliau, Ng berkata: "Tiada..ini personal dialah."

Semalam, Perdana Menteri mengesahkan telah menerima surat perletakan jawatan Sulaiman sebagai Timbalan Menteri Pelancongan.