Ahad, November 22, 2009

LELAKI BOLEH SERTAI SKUAD SAYANG


Wanita Umno memberi peluang kepada sesiapa sahaja termasuk lelaki untuk menganggotai Skuad Sayang bagi membantu pergerakan itu melaksanakan kerja kebajikan dan sukarelawan.

Ketua Pergerakan itu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata walaupun Skuad Sayang berada di bawah naungan Wanita Umno, pergerakan itu mengalukan-alukan sesiapa sahaja yang mahu menyertainya.

"Sesiapa juga boleh menyertai Skuad Sayang, walaupun ia berada di bawah naungan Wanita Umno tetapi kerja-kerja amal yang kita buat merentasi ideologi politik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Jalinan Rakyat Skuad Sayang Pergerakan Wanita Umno di Balai Raya Kampung Janda Baik di sini, hari Sabtu.

Pada majlis itu, Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menyampaikan bantuan selimut dan beg sekolah kepada 158 penduduk Kampung Janda Baik.

Beliau berkata Skuad Sayang itu ditubuhkan baru-baru ini bagi menyahut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden Umno yang mahu melihat adanya peningkatan semangat sukarelawan dalam membuat kerja kebajikan dan membantu orang lain.

Shahrizat berkata menerusi Skuad Sayang, yang kini mempunyai 19 cawangan, semangat sukarelawan dapat dihidupkan semula kerana ia sebahagian budaya masyarakat Malaysia.

"Skuad Sayang ini bukan hanya tertumpu kepada masa-masa bencana, tetapi kita ada program tiap-tiap minggu, tumpuan kita adalah pada masyarakat miskin, sakit dan yang memerlukan bantuan".